Umum

10 Kluster Baharu Tibi Dikesan di Tujuh Negeri, Johor Catat Kes Tertinggi

Sebanyak 10 kluster baharu Tuberkulosis (Tibi) dikesan di tujuh negeri setakat Sabtu lalu, dengan Johor merekodkan jumlah kes tertinggi iaitu 37 kes, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Menurut beliau, kes di Johor melibatkan 29 kanak-kanak dan lapan dewasa, dengan indeks kes bagi salah satu kluster dikenal pasti sebagai seorang wanita berusia 72 tahun di Kota Tinggi.

Dzulkefly berkata 36 daripada keseluruhan kes berkenaan dikesan secara aktif menerusi inisiatif pegawai Kementerian Kesihatan (KKM) yang turun ke lapangan bagi menjalankan ujian serta pengesanan kontak.

“Hasil pengesanan kontak sehingga 7 Februari, sebanyak 903 kontak rapat telah dikenal pasti dan menjalani saringan. Mereka yang bergejala terus diberikan rawatan di fasiliti KKM,” katanya.

Beliau berkata semua kes yang dilaporkan telah memulakan rawatan dan sedang dipantau melalui kaedah rawatan pemerhatian langsung (Directly Observed Treatment, Short-course – DOTS) secara harian di fasiliti kesihatan terdekat.

Dzulkefly berkata demikian ketika menjawab soalan Ahmad Yunus Hairi (PN–Kuala Langat) pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini mengenai status terkini kluster tibi mengikut negeri, jumlah kes aktif serta langkah saringan dan kawalan yang dilaksanakan bagi mencegah penularan.

Selain Johor, Selangor merekodkan jumlah kes tibi kedua tertinggi dengan 10 kes melibatkan empat kluster, diikuti Sabah (lima kes, satu kluster) dan Pahang (empat kes, satu kluster). Sementara itu, Kedah, Kelantan dan Perlis masing-masing merekodkan dua kes melibatkan satu kluster.

Dzulkefly berkata saringan simptom oleh KKM meliputi antaranya batuk berpanjangan, demam, hilang selera makan, susut berat badan secara mendadak serta pemeriksaan klinikal paru-paru.

Menjawab soalan tambahan mengenai keberkesanan imunisasi dalam menangani tibi, beliau berkata imuniti kelompok melalui Program Imunisasi Kebangsaan merekodkan hampir 99 peratus kanak-kanak telah menerima imunisasi.

“Bagi bayi daripada hampir 500,000 kelahiran yang didaftarkan setiap tahun, liputan imunisasi bagi perlindungan jangkitan tibi sepanjang empat tahun kebelakangan ini menepati sasaran,” katanya.

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top