Business

Eaton dan Westcon-Comstor Malaysia Jalin Kerjasama Tingkatkan Kualiti Kuasa

 

KUALA LUMPUR — Eaton, syarikat pengurusan kuasa pintar global, mengumumkan kerjasama strategik dengan Westcon-Comstor Malaysia, pengedar teknologi khusus dalam penyelesaian Cisco, untuk memperkukuh rangkaian pengedaran produk kualiti kuasa di Malaysia.

Melalui kerjasama ini, Comstor — cabang pengedaran Cisco milik Westcon-Comstor — akan mengedarkan portfolio Power Quality (PQ) Eaton, termasuk produk Distributed Power Quality (DPQ), kepada pelanggan tempatan.

Chan Jian Wen, Pengurus Negara Eaton Malaysia, berkata kerjasama ini mencerminkan komitmen Eaton dalam memperkukuh jaringan saluran pengedaran serta memastikan ketersediaan stok bagi menyokong penghantaran lebih pantas.

“Kerjasama dengan Westcon-Comstor membolehkan kami menyediakan pengalaman menyeluruh kepada pelanggan, daripada reka bentuk dan konsultasi, sehinggalah ke pelaksanaan serta sokongan berterusan,” katanya.

Selain itu, Comstor turut menawarkan rak pelayan Eaton yang direka untuk konfigurasi serbaguna dan pengurusan haba cekap — komponen penting bagi pusat data moden. Ia membolehkan perniagaan menjimatkan tenaga serta menyumbang kepada matlamat kelestarian.

Menurut Wayne Chong, Pengurus Negara Comstor Malaysia, kerjasama ini adalah langkah strategik untuk memperkukuh portfolio penyelesaian pengkomputeran syarikat.

“Integrasi rangkaian UPS Eaton dalam portfolio penyelesaian kami membantu pelanggan mengurangkan penggunaan tenaga sambil meningkatkan prestasi operasi,” jelasnya.

Kerjasama Eaton–Westcon ini bukan sahaja meningkatkan daya saing harga, malah memberi akses lebih meluas kepada penyelesaian kualiti kuasa bertaraf dunia untuk perniagaan Malaysia.

Langkah ini turut sejajar dengan strategi Responsible Business Westcon-Comstor, yang menekankan tiga tonggak utama: manusia, planet dan komuniti, demi masa depan lebih mampan.


 

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top