Umum

16 warga Afrika ditahan dipercayai terlibat aktiviti persundalan

Gambar PDRM

Seramai 16 wanita warga Afrika yang dipercayai terlibat aktiviti persundalan di sekitar kawasan Bukit Bintang ditahan malam tadi dalam serbuan di sebuah hotel bajet.

Menurut Ketua Polis Dang Wangi, Noor Delhan Yahaya, semua wanita berusia lingkungan 21 hingga 40 tahun aktif melakukan aktiviti berkenaan sejak kebelakangan ini, menawarkan khidmat seks kepada pelancong dan warga tempatan pada harga RM100.

Beliau berkata, wanita terbabit akan menggunakan taktik berdiri di tepi jalan bagi mendapatkan pelanggan di sekitar Bukit Bintang sebelum dibawa ke bilik hotel bajet berkenaan yang disewa secara harian.

“Berdasarkan risikan selama seminggu kumpulan wanita berkenaan didapati kerap bertukar hotel bajet bagi mengelakkan kegiatan mereka dikesan pihak berkuasa.

“Dalam serbuan itu polis merampas 40 keping kondom, 10 tiub gel pelincir, 14 telefon bimbit dan wang tunai RM800,” katanya dalam kenyataan, menurut Bernama.

Semua mereka disiasat mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan dan Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 dan permohonan reman akan dibuat hari ini.

Noor Dellhan menyeru orang ramai dan pihak hotel memberikan kerjasama dengan menyalurkan maklumat terhadap sebarang kegiatan menyalahi undang-undang.

 

 

PALING POPULAR

To Top