Umum

17 korban direkodkan di seluruh negara

Keadaan cuaca yang semakin baik dengan ketiadaan hujan lebat di beberapa negeri semalam, memberi sedikit kelegaan kepada mangsa yang terjejas dengan banjir sebelum ini.

Bagaimanapun, terdapat berita duka apabila pihak berkuasa mula merekodkan penemuan mayat mangsa banjir di Selangor dan Pahang.

Sebanyak 11 mayat ditemui di Selangor manakala Pahang mencatat jumlah korban seramai enam orang dengan empat lagi dilapor masih hilang dalam kejadian banjir lumpur di Telemong, Bentong.

Penemuan mayat itu menjadikan 17 orang terkoban dalam kejadian banjir yang melanda lapan negeri, dan mengakibatkan 66,939 mangsa dipindahkan ke 466 pusat pemindahan sementara (PPS) banjir yang dibuka di Selangor, Pahang, Terengganu, Kelantan, Negeri Sembilan, Melaka, Perak dan Kuala Lumpur.

Di SELANGOR, kawasan Taman Sri Muda, merekodkan penemuan lapan mayat sehingga tengah malam tadi.

Dua lagi mangsa maut dipercayai lemas dalam kejadian berasingan di Dengkil, Sepang dengan identiti mereka belum dikenal pasti.

Sementara itu, satu lagi kes maut membabitkan seorang lelaki dipercayai pemandu treler yang ditemui di Desa Coalfields, Kuala Selangor, pada Ahad.

Sementara itu, Bernama melaporkan, di PAHANG, operator kilang M.Gunalan, 38, menjadi korban pertama banjir di negeri itu setelah ditemukan maut pada jam 2.22 petang Jumaat (17 Dis) kira-kira 100 meter dari lokasi dia dilihat terjatuh semasa meredah banjir di jalan berhampiran tanah perkuburan Cina di Gambang.

Korban kedua direkodkan membabitkan seorang lelaki yang dilapor hilang pada 1 pagi Ahad, selepas dia dikatakan cuba meredah banjir di Kampung Cempaka bersama seorang rakan dengan menaiki kereta Proton Exora sebelum kenderaan itu terkandas. Bagaimanapun rakannya terselamat.

Dalam pada itu, tiga mayat wanita dan satu lelaki, dipercayai daripada kumpulan lima individu dilapor hilang dalam kejadian banjir lumpur di Telemong, ditemukan pasukan mencari dan menyelamat (SAR) pada Isnin yang memulakan operasi bermula 9 pagi di kawasan mereka dilapor hilang.

Mayat lelaki ditemukan pada jam 1 tengah hari manakala mayat tiga wanita ditemukan pada jam 1.20 tengah hari, jam 2 petang dan jam 4.23 petang, kira-kira dua hingga lima kilometer dari lokasi mereka dilapor hanyut di kawasan sungai di kampung itu.

Di PERAK, meskipun cuaca diramal baik sehingga hari ini di kebanyakan tempat namun pihak berkuasa akan terus membuat pemantauan khasnya di kawasan berisiko tinggi bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

Di TERENGGANU, kebanyakan paras air di sungai-sungai utama di negeri ini berada di paras normal kecuali di stesen bacaan Sungai Kemaman di rumah pam Paya Paman yang merekodkan ketinggian 4.45 meter (m) mengatasi paras bahaya 4m.

Di KUALA LUMPUR, seramai 371 mangsa banjir di ibu negara masih ditempatkan di tiga PPS yang dibuka serta keadaan baik semalam menyaksikan 10 jalan yang sebelum ini ditutup akibat ditenggelami air, telah kembali dibuka.

Di KELANTAN, empat sungai utama berada pada paras bahaya iaitu Sungai Lebir di Tualang, Kuala Krai merekodkan bacaan 36.67 meter (m), Sungai Kelantan di Tangga Krai (25.10m), Sungai Kelantan di Jambatan Guillemard (16.29m) dan Sungai Golok di Rantau Panjang, Pasir Mas (10.19m).

Di NEGERI SEMBILAN, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Negeri Sembilan Lt Kol (PA) Mohd Syukri Madnor berkata mangsa banjir di negeri itu yang ditempatkan di PPS semakin menurun susulan keadaan cuaca baik semalam.

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top