Umum

2.52juta kenderaan dijangka guna PLUS, LPT1 & LPT2 sempena Hari Raya Haji

Gambar Hiasan, Credit to owner

Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) menjangkakan sehingga 2.52 juta kenderaan di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS), Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak dan Lebuhraya Pantai Timur (LPT) 1 dan LPT2 sempena sambutan Hari Raya Aidiladha 17 Jun ini.

LLM menerusi kenyataan hari ini memaklumkan semua syarikat konsesi diarah menghentikan kerja pembinaan dan penyelenggaraan melibatkan penutupan lorong bermula Rabu lepas hingga 19 Jun ini bagi meminimumkan kesan peningkatan trafik.

“Selain itu, pengoperasian lebuh raya dan semua kemudahan berfungsi dengan baik terutamanya di kawasan R&R, hentian sebelah serta sistem kutipan tol dengan penambahan lorong sementara.

“Konsesi juga diarahkan menambah kemudahan tempat letak kereta dan tandas mudah alih di beberapa R&R, meningkatkan bilangan petugas, memastikan kecukupan bekalan air serta minyak di stesen-stesen minyak selain mengaktifkan lorong pintar di beberapa lokasi,” menurut kenyataan itu.

Pengguna boleh merujuk aplikasi MyPLUS-TTA oleh PLUS Berhad bagi mengetahui status perjalanan di Lebuhraya Utara Selatan dan cadangan waktu perjalanan (TTA) oleh pihak Anih Berhad bagi Lebuhraya KL-Karak dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1.

“Pengguna boleh mendapatkan status semasa trafik lebuh raya atau sebarang insiden di lebuh raya melalui media sosial rasmi LLM dan Syarikat Konsesi seperti di Facebook rasmi Lembaga Lebuhraya Malaysia, aplikasi X @llmtrafik serta tiktok @llmtrafik.

“Pengguna juga boleh menghubungi Pusat Pengurusan Trafik, LLM di talian hotline 1–800–88–7752. Bagi mendapatkan maklumat keadaan trafik semasa melalui paparan CCTV di semua lebuh raya, pengguna boleh melayari laman sesawang LLM di https://www.llm.gov.my,” menurut kenyaatan itu.

 

PALING POPULAR

To Top