Dua bekas pegawai bank direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan berkaitan kes kelulusan pinjaman berjumlah kira-kira RM11.3 juta menggunakan dokumen palsu, yang dipercayai berlaku antara tahun 2022 hingga tahun lalu.
Perintah reman sehingga 29 Mei itu dikeluarkan oleh Majistret Siti Aisyah Umar Baki selepas permohonan dibuat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini.
Terdahulu, lima lelaki termasuk empat pegawai bank turut direman selama tujuh hari sehingga 28 Mei bagi membantu siasatan kes yang sama.
Kesemua suspek dipercayai telah bersubahat untuk meminta dan menerima rasuah berjumlah sekitar RM300,000 daripada seorang pemilik syarikat sebagai balasan untuk meluluskan 39 permohonan pinjaman kewangan menggunakan dokumen sokongan yang dipalsukan.
Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, S. Karunanithy mengesahkan penahanan tersebut dan memaklumkan bahawa siasatan dijalankan di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.
