DUA pengembara yang menggunakan penerbangan dari Singapura ke Sydney pada Ahad telah disahkan dijangkiti varian Omicron, kata Kementerian Kesihatan New South Wales (NSW Health) pada Isnin.
“Kedua-dua penumpang itu tiba di Sydney dari selatan Afrika (transit di Singapura) dengan penerbangan Singapore Airlines SQ211,” kata NSW Health dalam satu kenyataan media pada Isnin, menurut laporan Channel News Asia.
Kedua-dua mereka yang telah menerima vaksin sepenuhnya kini diasingkan di penginapan kesihatan khas, tambahnya.
“Semua orang dalam penerbangan itu dianggap kontak rapat dan perlu menjalani ujian segera COVID-19 dan mengasingkan diri selama 14 hari, tanpa mengira status vaksinasi mereka,” kata kementerian itu lagi.
Kementerian itu berkata pihaknya akan menghubungi semua penumpang dan kru penerbangan untuk tujuan makluman keperluan kuarantin.
Maklumat penerbangan dari laman web Lapangan Terbang Changi menunjukkan bahawa SQ211 berlepas dari Singapura pada 10.30 pagi Ahad dan mendarat di Sydney pada 9.20 malam.
Australia membuka sempadannya kepada warga Singapura yang sudah divaksinasi pada 21 November, selepas Singapura melanjutkan skim laluan perjalanan lengkap vaksin ke Australia awal bulan ini.
Pada Sabtu, pihak berkuasa New South Wales mengumumkan semua pengembara yang baru tiba dari luar negara perlu mengasingkan diri sekurang-kurangnya tiga hari.