KUALA LUMPUR – Polis menahan seramai 215 wanita warga asing yang disyaki bekerja sebagai guest relations officer (GRO) dalam operasi besar-besaran Op Noda di seluruh negara pada 22 dan 23 Ogos lalu.
Dalam operasi selama dua hari itu, polis melakukan pemeriksaan di 87 premis hiburan dan mendapati 66 daripadanya beroperasi tanpa lesen sah.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata, tangkapan melibatkan wanita dari Thailand (76), Vietnam (65), Indonesia (35), Myanmar (26), China (5), Kemboja (4) dan Laos (2), berusia antara 22 hingga 38 tahun.
“Kesemua mereka dibawa ke ibu pejabat polis daerah masing-masing untuk proses dokumentasi dan siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, siasatan dijalankan mengikut Akta Imigresen 1959/63, termasuk kesalahan memasuki negara tanpa dokumen sah dan tinggal lebih masa.
Dalam masa sama, pemilik premis turut disiasat kerana menggaji pendatang tanpa izin serta menjual arak tanpa lesen.
“Polis akan terus mempergiatkan operasi bagi memastikan semua pusat hiburan mematuhi syarat lesen yang ditetapkan,” katanya.
