Umum

2,257 pengarah syarikat dihalang keluar negara kerana gagal bayar caruman KWSP

Seramai 2,257 pengarah syarikat dihalang meninggalkan negara kerana gagal membayar caruman pekerja kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sepanjang tempoh Januari hingga Disember 2025.

Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Sazaliza Zainuddin berkata, tindakan itu diambil selepas nama majikan terbabit diserahkan kepada Jabatan Imigresen mengikut Seksyen 39 Akta KWSP.

Beliau berkata langkah tersebut menjadikan jumlah keseluruhan pengarah syarikat yang dikenakan sekatan perjalanan kerana kesalahan sama mencecah 14,332 orang sehingga Disember 2025.

Menurutnya, sepanjang tahun lalu juga, KWSP telah memfailkan sebanyak 3,530 saman sivil dan mengambil 6,011 tindakan jenayah terhadap majikan serta pengarah syarikat yang gagal menunaikan tanggungjawab mencarum untuk pekerja.

“Semua majikan wajib menunaikan caruman pekerja mengikut Seksyen 43(1) Akta KWSP. Majikan yang gagal memenuhi kewajipan ini boleh dikenakan tindakan penguatkuasaan termasuk prosiding sivil, pendakwaan jenayah serta sekatan perjalanan ke luar negara,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah beliau, pasukan penguatkuasaan KWSP sentiasa memantau majikan bagi memastikan caruman pekerja dibayar tepat pada masanya.

“Pembayaran caruman yang teratur dan tepat pada waktunya penting bukan sahaja untuk melindungi hak pekerja, malah memastikan simpanan persaraan mereka terus berkembang serta menyediakan asas kewangan yang kukuh pada masa hadapan,” katanya.

Bagi tempoh Januari hingga Disember 2025, KWSP berjaya menyelesaikan 8,868 kes tunggakan caruman daripada 21,029 aduan yang dibuat oleh pekerja.

Bagaimanapun, sebanyak 12,161 kes masih dalam siasatan serta tindakan undang-undang.

Sehubungan itu, ahli digesa supaya sentiasa menyemak akaun mereka melalui aplikasi i-Akaun KWSP bagi memastikan caruman majikan dikreditkan dengan betul.

Majikan juga digalakkan menggunakan i-Akaun (Majikan) untuk menyemak senarai pekerja, jumlah caruman yang telah dibayar serta sejarah pembayaran.

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top