28 calon Perikatan Nasional (PN) yang bakal bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, 20 November ini, selesai menandatangani aku janji menentang rasuah.
Aku janji yang dilaksanakan di Bilik Gerakan Utama (BGU) itu telah disaksikan sendiri oleh pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Lafaz aku janji itu diketuai oleh Pengerusi PN negeri, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen sebelum proses menandatangani dibahagikan kepada empat sesi membabitkan tujuh calon setiap satu sesi.
Inti pati aku janji tersebut adalah bagi menuntut semua calon menolak sebarang amalan rasuah dan salah guna kuasa sekiranya terpilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pada PRN nanti.
Antara lain, aku janji berkenaan menyatakan:
1. Saya akan mematuhi sepenuhnya undang-undang seperti mana yang diperuntukkan dalam Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta SPRM 2009) dan undang-undang yang berkaitan dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab saya sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri.
2. Saya akan menolak sebarang bentuk jenayah rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa, serta memberikan kerjasama sepenuhnya kepada SPRM dalam mencegah sebarang bentuk jenayah rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa.
3. Saya tidak akan melibatkan diri dalam sebarang bentuk jenayah rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa, sama ada secara langsung atau tidak langsung.
4. Saya akan melaporkan kepada SPRM dengan segera sebarang bentuk jenayah rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa yang melibatkan saya atau kakitangan di bawah seliaan saya.
5. Terdahulu, Muhyiddin pada Program Pentas PRN Melaka PN yang diadakan di Shah Alam semalam, menegaskan aku janji itu selari dengan pendirian yang didukung gabungan itu untuk menentang salah guna kuasa dan rasuah serta akan memberi layanan yang adil kepada semua pihak.
Muhyiddin memberitahu langkah itu bagi menunjukkan komitmen gabungan parti berkenaan dalam perjuangan memerangi rasuah.
Katanya, ia sekali gus mengambarkan ketegasan dan pendirian PN ialah mendokong prinsip-prinsip menentang segala penyalahgunaan kuasa dan menentang segala bentuk rasuah.
“Kita tidak akan biarkan ia bermaharajalela dan kita akan menentukan layanan yang adil dan saksama kepada semua pihak dan (pastikan) tidak ada satu kelompok masyarakat yang tertinggal dan dibiarkan begitu sahaja,” katanya dalam Pentas PRN Melaka.
PN bertanding di kesemua 28 kerusi DUN pada PRN Melaka dan daripada jumlah berkenaan, Bersatu bertanding di 15 kerusi, Pas (lapan) manakala Gerakan (lima).