Lebih 3,000 pokok durian yang ditanam secara haram dalam Hutan Simpan Gunung Benum telah ditebang oleh pihak berkuasa dalam satu operasi penguatkuasaan khas selama 18 hari bermula 21 Julai lalu.
Operasi melibatkan kawasan seluas 250 hektar, atas titah Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah, agar pencerobohan tanah negeri dihentikan serta-merta.
Menurut Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP), Zainuddin Jamaluddin, antara pokok yang ditebang termasuk durian Musang King, D24, IOI, durian kampung serta buah-buahan lain seperti petai, manggis dan rambutan.
“Kita tidak boleh tunduk kepada mereka yang ambil kesempatan menceroboh hutan simpan dan tanah kerajaan,” katanya.
Operasi disertai pihak polis, Pasukan Gerakan Am (PGA), RELA dan Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP). Zainuddin turut memaklumkan pihaknya tidak menerima bantahan daripada pekebun sepanjang operasi, malah ramai yang akur.
Antara cabaran utama operasi adalah akses ke kawasan ceroboh yang berpagar dan berkunci, selain terdapat kebun yang dipasang CCTV untuk memantau kehadiran pasukan penguat kuasa.
Setakat ini, lebih 50 hektar tanaman haram dimusnahkan dalam kawasan hutan simpan tersebut.
