Tiga buah rumah rosak teruk dalam kejadian letupan berpunca daripada kebocoran gas dalam kejadian di Taman Cenderawasih, di sini, malam tadi.
Menurut kenyataan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Pulau Pinang, sebahagian dinding rumah berkenaan runtuh dalam kejadian letupan berpunca dari sebuah rumah di taman tersebut.
Terdahulu, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 9.57 malam sebelum bergegas ke lokasi kejadian.
Sebaik tiba, pihak bomba mendapati tiga buah rumah, masing-masing berkeluasan kira-kira 74 meter persegi, mengalami kesan kemusnahan pada beberapa bahagian.
“Kesan itu seakan terkena bahan letupan di bahagian bumbang dan struktur dinding rumah yang berkemungkinan berpunca daripada kebocoran gas memasak.
“Peratusan kemusnahan pada rumah yang terlibat adalah dianggarkan kira-kira 70 peratus dan 10 peratus,” kata kenyataan tersebut hari ini.
Sementara itu,Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar dan Kebajikan Negeri, Phee Boon Poh memaklumkan sekurang-kurangnya empat penghuni dilaporkan mengalami kecederaan dalam insiden itu.
Bagaimanapun maklumat berhubung keadaan mangsa masih belum diketahui setakat ini.