Seramai 400 individu berdepan detik cemas selepas terperangkap dalam fenomena kepala air ketika berkhemah dan berkelah di Pusat Rekreasi Kolam Air Panas Kerling, Kuala Kubu Bharu, awal pagi tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 5.47 pagi sebelum sebuah jentera bersama enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Bharu digerakkan ke lokasi sejauh 20 kilometer.
“Air mula naik sekitar jam 3 pagi menyebabkan pengunjung yang berkhemah dan berkelah sempena cuti umum serta cuti sekolah terperangkap.
“Semua mangsa bagaimanapun selamat dan diarahkan berpindah ke kawasan tinggi dengan pemantauan anggota bomba,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut JBPM, operasi memindahkan mangsa giat dijalankan dengan keadaan kini berada dalam kawalan. Tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan setakat ini.
Fenomena kepala air sering berlaku apabila hujan lebat di kawasan hulu sungai menyebabkan limpahan air deras turun secara mendadak ke kawasan rendah, sekali gus mengundang risiko berbahaya kepada pengunjung di kawasan rekreasi.
Pihak berkuasa menasihatkan orang ramai supaya sentiasa peka terhadap perubahan cuaca, memantau ramalan hujan lebat serta mengutamakan keselamatan terutama ketika musim cuti sekolah dan cuti umum.
