Umum

435 rakyat Malaysia termasuk antara 1.44 juta dalam senarai pengusiran AS

Seramai 435 rakyat Malaysian berdepan pengusiran dari Amerika Syarikat (AS) selepas menerima arahan akhir pengusiran daripada Penguatkuasaan Imigresen dan Kastam AS (ICE).

Menurut laporan Harian Metro yang memetik data daripada operasi penguatkuasaan dan penyingkiran ICE, kumpulan rakyat Malaysia itu antara 1.44 juta individu yang menerima arahan akhir pengusiran, kini berada dalam doket bukan tahanan ICE.

Arahan akhir pengusiran ini diterima setelah Donald Trump dilantik presiden AS untuk kali kedua.

Menurut ICE, warga asing yang menerima arahan akhir pengusiran masih boleh mendapatkan perlindungan melalui suaka di AS sebagai pelarian atau bawah Konvensyen Menentang Penyeksaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.

Bagaimanapun, Washington tetap mengharapkan negara asal menerima kepulangan rakyat mereka.

“Kekurangan kerjasama daripada kerajaan asing melambatkan dan dalam kebanyakan kes, menghalang proses pengusiran,” kata ICE.

Ia turut menggesa kerajaan asing mengesahkan kewarganegaraan, segera mengeluarkan dokumen perjalanan untuk mereka. Kegagalan untuk mematuhi boleh menyebabkan sesebuah negara diklasifikasikan “tidak bekerjasama” atau “berisiko tidak mematuhi”.

Laporan tersebut turut menyatakan ketika ini, 15 negara disenaraikan tidak bekerjasama termasuk China, India dan Pakistan, manakala 11 negara seperti Vietnam dan Iraq dianggap berisiko tidak mematuhi.

Republikan dilaporkan berkata, pengusiran berskala besar dari AS perlu kerana mendakwa berjuta-juta pendatang asing memasuki negara itu secara haram semasa pentadbiran Presiden Joe Biden.

Jurucakap Wisma Putra dalam kenyataan ringkas berkata, kementerian itu mengetahui laporan pengusiran berkenaan, tetapi kedutaannya di Washington tidak menerima sebarang pemberitahuan rasmi daripada pihak berkuasa AS.

Katanya, tiada permintaan rasmi untuk bantuan konsular daripada rakyat Malaysia yang menerima arahan akhir pengusiran.

“Kedutaan dan konsulat kami di AS kekal berhubung rapat dengan pihak berkuasa berkaitan serta terus berhubung dengan masyarakat Malaysia untuk memastikan kesejahteraan dan pematuhan mereka terhadap peraturan imigresen.”

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top