Kementerian Kesihatan (KKM) membatalkan notifikasi lima produk kosmetik kerana dikesan mengandungi racun berjadual dan tidak dibenarkan dijual di Malaysia.
Produk-produk tersebut termasuk ‘Karisma Aqua Birds Nest’ yang mengandungi racun hidrokuinon manakala ‘Skin Revolution – PAP – Blemish Control Serum’ dan ‘Skin Revolution – PAP – Blemish Fade Cream’ masing-masing mengandungi clindamycin dan metronidazole.
Sementara itu, ‘Ufora Daily Treatment 10g’ dikesan mengandungi racun betamethasone 17-valerate manakala ‘Dnars Gold Balen Cream (Night)’ dikesan mengandungi racun hidrokuinon, tretinoin dan betamethasone 17-valerate.
“Penjual dan pengedar produk-produk kosmetik ini perlu menghentikan penjualan dan pengedaran produk kosmetik itu dengan serta-merta. Penjualan dan pengedaran produk kosmetik ini melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984, menurut KKM dalam kenyataan.
Menurut KKM, produk yang mengandungi hidrokuinon, clindamycin, metronidazole, tretinoin dan betamethasone 17-valerate ialah ubat yang perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah dan hanya boleh digunakan dengan nasihat ahli profesional kesihatan.
Penggunaan produk yang mengandungi bahan tersebut tanpa pengawasan ahli profesional kesihatan boleh menyebabkan kesan sampingan yang tidak diingini.
“Hidrokuinon menyebabkan kemerahan pada kulit yang disapu, ketidakselesaan, perubahan warna kulit yang tidak diingini, kulit menjadi hipersensitif, manakala tretinoin menyebabkan kulit menjadi kemerahan, tidak selesa, pedih, mengelupas dan hipersensitif kepada cahaya matahari.
Penggunaan clindamycin dan metronidazole memberi kesan mudarat kepada kesihatan dan boleh meningkatkan risiko kerintangan yang seterusnya mengurangkan keberkesanannya untuk merawat jangkitan, sementara betamethasone 17-valerate mengakibatkan kulit menjadi nipis, iritasi serta berjerawat,
kata KKM