Umum

7 syarikat terlibat penipuan bida dikenakan denda

7 perusahaan didapati melanggar seksyen 4 Akta Persaingan 2010 (Akta 712) kerana terlibat dalam aktiviti kartel tipuan bida yang melibatkan empat (4) tender yang ditawarkan oleh Kementerian Pertahanan (MINDEF) dengan nilai keseluruhan sekitar RM20 juta pada tahun 2017 dan 2020 dikenakan penalti dan denda dengan jumlah keseluruhan RM446,092.95.

Perusahaan-perusahaan yang terlibat adalah seperti berikut:
i. Agenda Eksklusif Sdn Bhd (AESB) – Terlibat dalam semua 4 tender;
ii. Star Apex Enterprise (SAE) – Terlibat dalam semua 4 tender;
iii. Nekad Waja Resources (NWR) – Terlibat dalam semua 4 tender;
iv. Spectron Sdn. Bhd. (SSB) – Terlibat dalam 2 daripada 4 tender;
v. Teknokrat Makmur Enterprise (TME) – Terlibat dalam 1 daripada 4 tender;
vi. Prospectrum Sdn. Bhd. (PSB) – Terlibat dalam 1 daripada 4 tender; dan
vii. NK Panorama Enterprise (NKPE) – Terlibat dalam 1 daripada 4 tender.

Menurut kenyataan oleh MyCC, dalam penyiasatannya, MyCC telah mengenal pasti kewujudan 2 kumpulan kartel. Kumpulan
kartel pertama terdiri daripada AESB, SAE, NWR, TME, dan SSB. Sementara itu, kumpulan kartel kedua pula membabitkan NKPE dan PSB, dan kedua-dua perusahaan ini terlibat di dalam 1 daripada 4 tender yang disiasat.

“Kartel tipuan bida telah sekian lama menggugat ketelusan dan integriti perolehan awam negara, mengakibatkan kerugian besar kepada sumber awam yang sepatutnya dimanfaatkan untuk negara dan rakyat. MyCC tetap teguh dalam usaha membanteras amalan tidak beretika
ini, sejajar dengan komitmen kerajaan Malaysia untuk membasmi kartel tipuan bida. Bagi melindungi kepentingan kerajaan dan seluruh rakyat Malaysia, MyCC kini sedang menyiasat 13 kartel tipuan bida yang melibatkan 561 syarikat dalam tender bernilai RM2.37 bilion serta
menilai aduan berkaitan 463 syarikat dalam tender bernilai RM9.27 bilion,” kata Ketua Pegawai Eksekutif MyCC, Encik Iskandar Ismail.

“Perlu saya tegaskan bahawa penyiasatan ini tertumpu kepada perusahaan-perusahaan yang terlibat dalam pelanggaran tersebut, bukannya terhadap Kementerian Pertahanan (MINDEF). MINDEF adalah mangsa manipulasi kartel-kartel ini. Kami menghargai kerjasama
MINDEF dalam penyiasatan serta berdiri teguh bersama kami menentang aktiviti kartel yang tidak bertanggungjawab ini kerana kartel adalah kejahatan tertinggi di dalam undang-undang persaingan.

Kami menyeru agar agensi-agensi lain mencontohi tindakan MINDEF dan bekerjasama dengan MyCC dalam usaha melindungi ketelusan perolehan awam. Jika terdapat kementerian atau agensi yang mengesyaki berlakunya amalan tipuan bida dalam proses
tender mereka, kami mengesyorkan agar segera menghubungi MyCC untuk membuat aduan,” ujarnya lagi.

PALING POPULAR

To Top