Kuala Lumpur Malay Chamber of Commerce atau singkatan KLMCC telah menganjurkan semula misi dagang ke Hong Kong pada tahun ini dengan jayanya dibawah program “Trips x Kuala Lumpur Marketplace”. Program Kuala Lumpur Marketplace anjuran KLMCC bertujuan untuk memberi peluang kepada usahawan untuk mengembangkan perniagaan dan memperluaskan pasaran sedia ada dengan memanfaatkan jaringan perniagaan domestik dan antarabangsa KLMCC. Ia juga bertujuan memberi pendedahan kepada usahawan yang belum lagi mempunyai kapasiti eksport tetapi ingin mengetahui pasaran luar dengan lebih mendalam.
Misi dagang ke Hong Kong kali ini yang dijayakan dengan koloborasi Universiti Kuala Lumpur dan HKTDC telah melibatkan seramai 20 peserta yang terdiri daripada usahawan muda yang baru dan berminat menceburi bidang makanan.
Antara aktiviti utama misi ini adalah lawatan ke HKTDC Food Expo 2023 yang bertempat di Hong Kong Convention and Exhibition Centre (HKCEC). Acara ini menyaksikan 650 pempamer dan lebih 400 ribu pengunjung selama 4 hari ia berlangsung.
Selain itu, misi dagang yang diketuai Bendahari KLMCC, En. Norhisham Abdul Mutalib telah berpeluang untuk membawa peserta semua mengunjung pejabat Matrade di Hong Kong untuk pertemuan dengan En. Yazrin Syakhairi Mahlan, Trade Commissioner untuk bertukar pandangan dan mendapat pemahaman yang lebih mendalam berkaitan memasuki pasaran Hong Kong.
“Saya jangkakan sekurang-kurangnya separuh daripada peserta misi dagang kali ini akan kembali ke Hong Kong untuk meneruskan rancangan untuk menebusi pasaran Hong Kong di masa akan datang” kata En. Norhisham ketika mengulas tentang keadaan peserta ketika di sana.
Misi dagang ke Hong Kong kali ini merupakan misi pertama dan salah satu daripada beberapa misi dagang ke luar Negara yang telah dirancang setelah program terpaksa “direhatkan” akibat pandemik COVID 19.