Umum

Mahkamah Perusahaan anugerah RM66,000 kepada bekas penolong pentadbir

Gambar Facebook

Mahkamah Perusahaan menganugerahkan pampasan RM66,000 kepada bekas penolong pentadbir pejabat atas pemecatan konstruktif kerana majikan mengambil beberapa tindakan bagi menyingkirkannya susulan kehamilan.

Pengerusi Mahkamah, Augustine Anthony, berkata Bru-Haas Sdn Bhd, syarikat terlibat penjualan produk elektrik, elektronik dan telekomunikasi, merencana beberapa taktik dan kaedah tertentu untuk memaksa Choong Siew Fong tidak lagi bekerja.

“Malang sekali (ia berlaku) terhadap pekerja bergelut dengan kebimbangan risiko dijangkiti Covid-19 dan bagaimana jangkitan itu jika berlaku akan menjejaskan kandungannya,” katanya.

Katanya, jika Choong mengalah kepada tekanan syarikat, majikan tersebut akan berjaya menamatkan kontrak pekerja itu tanpa perlu secara langsung memberhentikannya.

“Ia adalah jenis taktik tidak langsung digunakan syarikat untuk menyingkir pekerja yang menimbulkan tuntutan pemecatan konstruktif,” kata Anthony dalam 41 muka surat penganugerahan dikeluarkan awal bulan ini.

Katanya, berdasarkan keterangan, pihak syarikat jelas melaksanakan tingkah laku dengan cara yang hanya boleh ditafsirkan sebagai pelanggaran kepercayaan bersama dan keyakinan antara Choong dan majikan.

Anthony berkata, pihak syarikat tidak melakukan remedi ke atas pelanggaran syarat penting kontrak walaupun menerima surat peguam Choong, pada 24 Sept 2021.

Mahkamah mendapati bahawa Choong, setelah mengetahui pihak syarikat tidak bersedia melakukan remedi pelanggaran, berhenti kerja pada 1 Okt 2021, dan dia bertindak betul melakukan tuntutan selepas dikenakan pemecatan konstruktif.

Anthony berkata, pihak syarikat itu ingkar dalam jaminan terdahulu bahawa Choong boleh bekerja dari rumah sepanjang tempoh kehamilan.

Katanya, pihak syarikat kemudian memaksanya bekerja dari pejabat dengan tidak mengambil kira nasihat doktor wanita itu.

Mahkamah memutuskan tingkah laku pihak syarikat seterusnya, yang mana melibatkan tekanan terhadap wanita itu untuk meletak jawatan sehingga ke tahap bersedia menyiapkan cek bayaran terakhir dan surat pemberhentian ke atasnya tanpa perbincangan sewajarnya, sangat dikesali.

Choong mula bekerja pada 1 Julai 2019 dan gaji terakhir diperoleh RM6,000.

Anthony berkata, Choong mendapat pekerjaan baharu, justeru mengembalikannya kepada jawatan sama di syarikat itu bukan remedi bersesuaian.

Beliau menganugerahkan penuntut RM54,000 sebagai gaji ke belakangan dan tambahan RM12,000 sebagai ganti pampasan pengembalian semula.

Peguam Iris Lim dan Chang Carrie mewakili penuntut, manakala Sarita Ashok Khandar dan Vimalan Ramanathan mewakili Bru-Haas.

Sumber FMT

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top