Model, pelakon dan pempengaruh media sosial Siew Pui Yi memfailkan saman terhadap bekas rakan kongsi perniagaannya kerana didakwa ditipu olehnya melibatkan jumlah RM4.3 juta.
Siew atau lebih dikenali sebagai Ms Puiyi meminta pengarah syarikatnya Lai Kai Jian atau dikenali sebagai mentos yang berusia 29 tahun itu untuk menyelesaikan cukai tertunggak syarikat dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) pada tahun lalu.
Bagaimanapun, lelaki itu didakwa menghilangkan diri tanpa membayar tunggakan berkenaan.
Mengulas lanjut, pelakon itu berkata “Dia menguruskan hal ehwal sumber manusia dan melaburkan dana syarikat saya.”
“Saya mempercayainya dan memberinya wang (hampir RM4.3 juta). Tetapi dia tidak menyelesaikan cukai tertunggak seperti diarahkan. Akibat tindakan itu, saya mengalami kerugian,” katanya pada suatu sidang media di Green Hall.
Peguamnya K Mahendran berkata satu laporan polis dibuat model itu pada Oktober tahun lalu dan polis sudah dua kali merakam keterangan Siew.
Mahendran berkata saman sivil itu difailkan di Mahkamah Tinggi untuk menuntut kembali RM2.3 juta, selain kos dan ganti rugi lain yang ditetapkan mahkamah.