Sebanyak 92 kes jenayah komersil direkodkan sehari berdasarkan 14,051 kes yang disiasat dengan nilai kerugian lebih RM 950ribu setakat 2 Jun lalu.
Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf, angka berkenaan berdasarkan jumlah kes yang disiasat setakat minggu ke-22 lalu.
“Secara perbandingan, jumlah kes pada tahun ini menunjukkan peningkatan sebanyak tiga peratus berbanding tempoh sama tahun lalu yang mencatatkan sejumlah 13,695 kes,” katanya dalam sidang akhbar di pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman pada hari Isnin.
Nilai kerugian juga menunjukkan peningkatan sebanyak 32 peratus berbanding tahun lalu yang mencatatkan nilai kerugian sebanyak RM728,846,238.82.
“Peningkatan jumlah kes ini bagaimanapun dapat ditangani dengan sewajarnya oleh jabatan ini melalui kadar pertuduhan yang lebih baik berbanding tahun 2023.
“Ini dapat dilihat melalui sejumlah 6,531 kertas siasatan yang telah dituduh sehingga minggu ke 22 tahun ini dan jumlah ini adalah lebih tinggi berbanding 5,643 kertas siasatan yang dituduh bagi tempoh sama tahun 2023,” katanya.
Jelas beliau, trend peningkatan kes dan nilai kerugian ini merupakan satu petanda bahawa usaha yang lebih giat perlu dilaksanakan dalam membanteras kegiatan jenayah komersil.
“PDRM menyeru penglibatan setiap lapisan masyarakat untuk sentiasa cakna dan mengambil bahagian dalam apa jua usaha pencegahan jenayah komersil,” ujarnya.