Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melantik 200 ‘duta online’ terdiri daripada kakitangan kementerian itu untuk menangkis fitnah dengan menyampaikan maklumat sahih.
Menurut Menterinya Nga Kor Ming, mereka akan menggunakan bahasa dan pendekatan lebih mudah difahami rakyat bagi menyampaikan dasar diperkenalkan kerajaan.
“Dalam era digital ini, media sosial memainkan peranan penting dalam menyampaikan maklumat.
“Video pendek, siaran langsung, dan pelbagai platform boleh digunakan sebagai medan menyelaraskan info kerajaan supaya rakyat berdiri teguh bersama mendukung aspirasi Malaysia Madani,” katanya dalam satu kenyataan.
Pelantikan duta online itu diumumkan Nga selepas majlis perasmian bengkel Sentuhan Maya KPKT, pada Khamis.
Anggota duta online KPKT itu katanya akan menggunakan kreativiti dalam menghasilkan kandungan yang menarik dan tidak membosankan.
Katanya, beliau percaya dengan kreativiti, maklumat yang benar dapat disampaikan dengan lebih berkesan dan menarik perhatian masyarakat.