Umum

Seramai 1.8 juta umat tunaikan ibadah haji tahun ini

Seramai 1,833,164 umat Islam dari seluruh dunia menunaikan ibadat haji tahun ini, menurut statistik Arab Saudi.

Menurut Pihak Berkuasa Am bagi Statistik Arab Saudi yang dikeluarkan kepada media, seramai 958,137 adalah jemaah lelaki manakala 875,027 adalah jemaah wanita, selain menyatakan jumlah jemaah haji luar ialah sebanyak 1,611,310 manakala jemaah tempatan 221,854 orang.

Statistik itu juga memberi pecahan peratusan haji dari Asia tidak termasuk negara Arab (63.3 peratus), negara Arab (22.3 peratus), negara Afrika (11.3 peratus), dan Eropah, Amerika Utara dan Selatan serta Australia (3.2 peratus).

Jumlah ketibaan jemaah haji tertinggi adalah menerusi lapangan terbang dengan 1,546,345 orang diikuti laluan darat (60,251) dan ketiga adalah menerusi pelabuhan (4,714).

Statistik tersebut turut menyiarkan seramai 322,901 jemaah haji mendapat manfaat daripada Inisiatif Laluan Makkah pada musim haji tahun ini.

Sehubungan itu, pihak berkuasa berkenaan juga menyatakan antara objektif pengumpulan data terperinci ini adalah bagi menyokong pembuat keputusan dalam mempertingkatkan perkhidmatan yang ditawarkan kepada jemaah haji.

“Statistik ini menyumbang kepada penilaian perkhidmatan disediakan oleh entiti yang bertanggungjawab untuk memberi khidmat kepada jemaah haji,” kata pihak berkuasa itu dilaporkan media.

 

PALING POPULAR

To Top