Umum

Aerotrain KLIA dijangka siap Januari 2025

Gambar KLIA

Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) berkata projek Penggantian Aerotrain di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dijangka siap lebih awal menjelang 31 Januari 2025, 2 bulan lebih awal daripada tarikh asal siap pada 31 Mac 2025.

Dalam kenyataan MAHB berkata berkata garis masa yang dipercepat dimuktamadkan menerusi kontrak yang dimeterai pada 14 Jun 2024, membabitkan Malaysia Airports (Sepang) Sdn Bhd (MA Sepang) dan usaha sama merangkumi IJM Construction Sdn Bhd dan Pestech Technology Sdn Bhd (IJMC-Pestech JV).

MA Sepang adalah anak syarikat milik penuh MAHB and Alstom Transport Systems (Malaysia) Sdn Bhd (Alstom).

“Sebagai pihak utama penyelarasan projek, Alstom akan memantau penghantaran tiga tren baharu, menaik taraf dua laluan dan pengujian komprehensif secara menyeluruh yang diperlukan bagi keselamatan operasi,” katanya.

Berdasarkan garis masa projek, aerotren baharu itu dijangka tiba di Malaysia dari China menjelang akhir suku ketiga tahun ini.

“Aerotrain berkenaan kemudiannya akan melalui proses pengoperasian dan pentauliahan serta ujian ketat oleh pihak berkuasa berkaitan sebelum dapat beroperasi secara rasmi,” katanya.

Pada Mac 2022, MAHB mengumumkan menganugerahkan projek penggantian Aerotrain KLIA, yang mempunyai garis masa untuk disiapkan selama tiga tahun.

Bagaimanapun, projek berkenaan mengalami kelewatan dan disusuli dengan penganugerahan projek baharu pada Jan 2024 kepada konsortium merangkumi Alstom, pengeluar peralatan asal Aerotrain dan JMC-Pestech JV untuk mengemudi projek itu agar kembali kembali ke landasan asal.

“Walaupun ada halangan ini, MAHB dan rakan kongsi projeknya bekerjasama secara berkesan untuk mencapai tarikh siap lebih awal daripada jadual asal dengan melaksanakan strategi inovatif dan pengurusan projek yang cekap,” katanya.

Sementara itu, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAHB, Mohamed Rastam Shahrom menyifatkan penyiapan projek lebih awal daripada tarikh asal, sebagai bukti komitmen berterusan untuk meningkatkan pengalaman penumpang.

“Kemajuan sedemikian tidak hanya menangani keperluan operasi yang segera, tetapi turut memperkukuh kedudukan KLIA sebagai hab pengangkutan utama di rantau ini dengan menyediakan perkhidmatan dan prasarana bertaraf dunia kepada para pelanggan,” katanya.

 

 

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top