Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan akan memasang kamera litar tertutup (CCTV) di stesen-stesen minyak berdekatan kawasan sempadan Malaysia-Thailand bagi tujuan pemantauan.
Menurut Pengarah KPDN Kelantan Azman Ismail, sebagai permulaan, CCTV akan dipasang di stesen-stesen terpilih yang dipercayai sering menjadi pilihan penyeludup.
Beliau berkata, langkah itu antaranya untuk mencegah kegiatan pembelian minyak secara berulang, dibimbangi untuk tujuan penyeludupan.
“Buat masa sekarang, pendekatan KPDN adalah dengan meletakkan anggota penguat kuasa secara statik di beberapa stesen terpilih, seperti di Tumpat dan Pasir Mas,” katanya baru-baru ini.
Menerusi pemasangan CCTV, pihak KPDN dapat membuat pemantauan secara terus dari pejabat dan memudahkan tindakan diambil jika berlaku penyeludupan.
Mengulas lanjut, Azman berkata, perkara itu masih dalam perbincangan dengan syarikat-syarikat minyak dan masih belum dimuktamadkan.
Katanya, setakat ini, stesen minyak sudah mempunyai CCTV masing-masing dan jika ingin pemantauan, pihak KPDN perlu mengunjungi stesen minyak tersebut untuk melihat sendiri rakaman CCTV.
“Apa yang kita inginkan adalah pemantauan boleh dilakukan daripada pejabat sahaja,” katanya.
Di daerah bersempadan, terdapat 46 buah stesen minyak dalam radius 20km yang menjadi tumpuan penyeludup bahan api itu, katanya.