Umum

Foodpanda setuju semak semula sistem baharu susulan protes penghantar

Gambar Facebook

Susulan satu protes diadakan oleh ‘riders’ pada hari Khamis, Foodpanda bersetuju semak semula sistem baharu diperkenal kepada penghantarnya.

Menurut Pengerusi Sekretariat Forum GiG Ekonomi Malaysia Sharkar Shamsudin, sistem baharu menggunakan Google Maps untuk navigasi dan laluan penghantaran, meluaskan lagi jarak penghantaran.

Sebelum ini, penghantar hanya membuat penghantaran ke kawasan tertentu seperti Kelana Jaya, tetapi kini kawasan diperluaskan termasuk Subang Jaya.

“Mereka berjanji untuk melihat semula sistem baharu yang dilaksanakan ini dan akan memberi maklum balas dalam tempoh sebulan,” kata Sharkar selepas bertemu dengan wakil Foodpanda di pejabat syarikat itu.

Sharkar berkata rungutan utama penghantar adalah skim pembayaran yang dirasakan sebagai tidak adil di bawah sistem baharu itu.

“Kini jarang penghantaran mereka diperluaskan tetapi bayaran tidak berbaloi,” katanya.

Sharkar berkata Foodpanda akan mendapatkan maklum balas daripada penghantar sebelum membuat keputusan muktamad.

Terdahulu, kira-kira 60 penghantar berkumpul di pejabat Foodpanda di Jalan Chan Sow Lin untuk menghantar memorandum mengenai permasalahan mereka.

Antara isu lain yang dibangkitkan adalah pembatalan pesanan secara paksa dan penalti tidak adil apabila pesanan dibatalkan selepas penghantaran.

 

 

PALING POPULAR

To Top