Umum

Minum kopi selepas durian, seorang pesakit rebah di pintu klinik

Gambar Facebook

Seorang pesakit rebah di pintu sebuah klinik setelah mengalami simptom pening, rasa nak muntah dipercayai kerana meminum kopi selepas makan durian.

Perkara itu dikongsikan pengasas Forhimclinic, Dr Ahmad Samhan Awang menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Menurut hantaran tersebut, pesakit lelaki berkenaan masuk ke bilik konsultasi dalam keadaan mabuk, terhuyung-hayang, wajah yang pucat dan dihujani peluh di dahi.

Pesakit tersebut memberitahu setelah makan durian lepas makan tengah hari, dia meminum kopi untuk menghilangkan rasa mengantuk.

Beliau menerangkan, gabungan durian dan kopi boleh menyebabkan badan berasa tak selesa dan ia dinamakan sebagai intoxication atau keracunan ringan.

“Durian mengandungi sulfur dan tinggi karbohidrat manakala kopi ada kafein yang boleh menyebabkan dehidrasi.

“Gabungan keduanya boleh menyebabkan tindak balas yang tidak baik kepada badan kita,” katanya.

Menerusi hantaran sama, beliau turut menyenaraikan makanan dan minuman yang perlu dielakkan selain kopi selepas memakan durian.

Ini termasuk, alkohol, minuman berkarbonat, makanan berminyak, pedas, susu dan produk tenusu serta makanan tinggi protein.

“Selepas makan durian, tunggu sekurang-kurangnya empat hingga enam jam sebelum minum kopi,” jelas beliau yang juga pempengaruh media sosial.

Sebagai langkah pencegahan, penggemar durian perlu menghindari pengambilan makanan dan minuman berkenaan dalam tempoh yang singkat.

“Jangan gabungkan makanan atau minuman yang boleh beri tekanan berlebihan kepada badan,” ujarnya.

Bagi rawatan mabuk akibat keracunan ringan itu, beliau menasihati mereka yang mengalaminya memperbanyakkan minum air kosong bagi membantu menyingkirkan toksin dalam badan serta berkunjung klinik untuk mendapatkan rawatan lanjut sekiranya memerlukan.

“Jadi, untuk semua peminat durian di luar sana, ingatlah untuk berhati-hati dengan apa yang anda gabungkan dengan durian,” tulisnya.

 

Sumber : Dr Ahmad Samhan

PALING POPULAR

To Top