Seramai 19 pelajar menerima rawatan di hospital pelbagai gejala termasuk muntah, demam dan kulit gatal, dipercayai selepas menyertai kejohanan di Pusat Akuatik Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) Arena Larkin.
Menurut Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi, Kejohanan Akuatik Majlis Sukan Sekolah Johor (MSSJ) 2024 yang berlangsung dari Selasa hingga Khamis lepas itu disertai kira-kira 900 pelajar.
Beliau berkata, berdasarkan laporan terkini, hanya seorang pelajar masih dirawat di Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru.
Bagaimanapun, Jabatan Kesihatan Negeri Johor sedang mengkaji tahap air di pusat akuatik berkenaan.
“Tahap air di sini (Pusat Akuatik MBJB Arena Larkin) sedang dikaji, sama ada ia memberi kesan kepada 19 pelajar tersebut.
InsyaAllah keputusan laporan dapat pada Isnin (esok), katanya pada sidang media selepas melawat pusat akuatik itu hari ini Bersama Exco Pendidikan dan Penerangan Johor Aznan Tamin, lapor Bernama.
Onn Hafiz berkata, pusat akuatik itu akan ditutup buat sementara waktu sehingga kerja-kerja baik pulih selesai termasuk dari segi prasarana kolam renang dan kolam terjun yang dilihat berkarat.