Umum

Polis rampas pingat, lambang kenderaan palsu darjah kebesaran

Polis merampas pelbagai peralatan Darjah Kebesaran Seri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP) disyaki palsu daripada seorang ahli lembaga pengarah sebuah syarikat telekomunikasi didakwa menggunakan gelaran Datuk Seri.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Ramli Mohamed Yoosuf mengesahkan menerima laporan polis daripada Jumaah Pangkuan Diraja Negeri Pahang mengenai penggunaan SSAP tidak wajar oleh penama sejak beberapa tahun lalu.

Susulan itu, beberapa peralatan darjah kebesaran SSAP palsu dirampas daripada penama. Antara dirampas pingat darjah kebesaran dan lambang kenderaan (emblem), katanya menurut Harian Metro.

Menurutnya siasatan masih diteruskan untuk mengenal pasti suspek lain terbabit dalam sindiket pemalsuan darjah kebesaran Pahang itu.

Dikatakan, individu itu disiasat mengikut Seksyen 3(1)(a) Enakmen 18, Enakmen Lambang, Gelaran atau Anugerah (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) Pahang 2017 kerana menggunakan gelaran tidak wajar bagi tujuan perniagaan.

Jika sabit kesalahan, boleh didenda RM250,000 hingga RM500,000 atau penjara setahun hingga lima tahun atau kedua-duanya.

Terdahulu, media melaporkan polis menerima laporan daripada Istana Pahang terhadap seorang ahli lembaga pengarah sebuah syarikat telekomunikasi didakwa menggunakan gelaran Datuk Seri palsu.

Ketua Polis Pahang, Yahaya Othman dilaporkan berkata, siasatan sedang dijalankan dengan beberapa individu dipanggil memberi keterangan.

Setiausaha Sulit kepada Tengku Mahkota Pahang, Amir Syaffiq Hamzah mengesahkan laporan polis dibuat pada 26 Julai lalu.

 

 

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top