Umum

Jabatan Perikanan tarik balik larangan jual kupang PD

Gambar Facebook

Susulan penurunan tahap biotoksin ke paras selamat, Jabatan Perikanan Malaysia menarik balik larangan penuaian dan penjualan kerang-kerangan termasuk kupang di perairan Port Dickson dan Melaka.

Menurut Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Arthur Joseph Kurup, hasil pemantauan dan analisis makmal, bacaan biotoksin menunjukkan penurunan di bawah 400 per bilion (ppb) bagi sampel ke-15 .

Aktiviti perikanan di kawasan terjejas boleh diteruskan seperti biasa, namun pemantauan dan pengambilan sampel tetap dilakukan dari semasa ke semasa, katanya selepas merasmikan Pesta Mengoca Komuniti Perikanan (myKP) Sungai Jerneh di Estet Ikan Kampung Sungai Jerneh, Gemencheh.

Turut hadir Ahli Parlimen Tampin Mohd Isam Mohd Isa dan Ketua Pengarah Perikanan Adnan Hussain.

Pada masa sama, Arthur turut menasihatkan orang ramai berwaspada dan mengikuti perkembangan lanjut daripada pihak berkuasa bagi memastikan keselamatan makanan terjamin.

Pada 4 April lalu, Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) DOF Wan Aznan Abdullah berkata hasil analisis makmal Pusat Biosekuriti Perikanan Kuala Lumpur mendapati terdapat alga berbahaya yang menyebabkan kupang di perairan Port Dickson dicemari dan tidak selamat dimakan.

Sementara itu, Arthur berkata Negeri Sembilan merupakan penyumbang terbesar bagi sub sektor akuakultur iaitu sebanyak 5,587.4 tan metrik (90.78%) pengeluaran ikan dengan nilai RM73.8 juta, tahun lalu.

Ini melibatkan 431 pengusaha akuakultur berdaftar dan daerah Tampin menyumbang RM2.9 juta kepada pengeluaran ikan air tawar, katanya.

 

 

PALING POPULAR

To Top