2 anggota polis peronda disyaki melakukan pemerasan wang terhadap seorang peniaga burger sambilan ditahan pada hari Rabu lalu.
Menurut Ketua Polis Klang Selatan, Cha Hoong Fong, 2 anggota terbabit ditahan sehari selepas pengadu membuat laporan berhubung kejadian.
Kata beliau, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian daripada lelaki berusia 22 tahun bekerja sebagai peniaga burger sambilan mendakwa anggota terbabit melakukan pemerasan wang ketika ingin menghantar pesanan pelanggan ke Bukit Tinggi, Klang.
Menurutnya, dalam kejadian kira-kira 1.10 pagi pada 6 Ogos itu, mangsa yang menaiki motosikal ditahan oleh suspek dengan kereta peronda di Lebuh Raya Shah Alam (Kesas) sebelum susur keluar ke Bandar Puteri, Klang.
“Semasa pemeriksaan dilakukan oleh suspek, anggota terbabit mendapati cukai jalan motosikal ditunggang mangsa tamat tempoh dan dipercayai menggunakan kesalahan ini untuk meminta sejumlah wang daripada mangsa bagi mengelakkan motosikalnya disita.
Setelah berbincang, mangsa memasukkan wang tunai sebanyak RM90 ke dalam plastik berisi burger dan menyerahkan kepada suspek, katanya dalam kenyataan.
Cha berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau dengan denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu.