Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata Jemaah Menteri bersetuju Malaysia menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) berkaitan kerjasama perdagangan dan ekonomi dengan Palestin.
Menerusi hantaran di laman Facebooknya, beliau berkata, pihaknya telah menerima kunjungan Duta Besar Palestin di Malaysia Walid Abu Ali di Menara Miti hari Isnin.
“Malaysia komited untuk membantu Palestin membangunkan semula ekonominya yang lumpuh.
MoU ini akan saya tandatangani bagi pihak kerajaan Malaysia bersama rakan sejawat saya dari Palestin, katanya dalam catitan di media sosial.
Tengku Zafrul berkata, nilai perdagangan dua hala antara Malaysia dan Palestin pada 2023 meningkat sebanyak 52.1% atau RM20.8 juta, berbanding pada 2022.
Perdagangan antara kedua-dua negara akan meningkat susulan pemeteraian MoU itu, katanya.
“Kita juga akan menubuhkan Majlis Perniagaan Bersama Malaysia-Palestin untuk meningkatkan kerjasama dalam kalangan komuniti perniagaan kedua-dua negara.
Segala usaha ini mencerminkan sokongan Malaysia terhadap usaha pembangunan dan kesejahteraan rakyat Palestin, katanya
Beliau berkata, kerajaan komited menyokong perjuangan rakyat Palestin dan akan terus bekerjasama dengan negara-negara sahabat untuk mencari penyelesaian yang adil dan berkekalan bagi isu Palestin.