Umum

51 pelajar keracunan makanan, kafe diarah tutup 14 hari

Gambar Facebook

Seramai 51 pelajar sebuah kolej di Melaka disyaki keracunan makanan apabila mengalami muntah dan cirit-birit setelah makanan di kafe pusat pengajian terbabit sejak kelmarin.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Rahmad Mariman, kejadian itu disedari selepas ada pelajar mengadu sakit perut, cirit-birit dan demam.

Mereka kemudiannya dikejarkan ke Hospital Jasin untuk rawatan lanjut.

“Situasi itu bagaimanapun berterusan sehingga semalam apabila masih terdapat pelajar yang dihantar ke klinik berhampiran untuk mendapatkan rawatan.

“Sehingga jam 6.30 petang semalam, bilangan pelajar yang terbabit adalah seramai 51 orang terdiri daripada 36 perempuan dan 15 lelaki.

Bagaimanapun keadaan dimaklumkan terkawal dan hanya seorang yang dimasukkan ke wad manakala pelajar lain hanya dirawat sebagai pesakit luar. Mereka dibenarkan pulang ke asrama selain tiada pertambahan kes dilaporkan sehingga tengah hari tadi, katanya dilaporkan Berita Harian.

Rahmad berkata, anggota penguat kuasa kesihatan kemudiannya diarahkan melakukan pemeriksaan serta siasatan di kafe kolej terbabit.

Katanya, pemeriksaan selanjutnya mendapati tiada punca spesifik yang dikenal pasti menyebabkan keracunan kerana pelajar mendakwa menikmati pelbagai jenis juadah daripada tujuh kafe yang terdapat di kolej berkenaan.

“Susulan itu semua kafe terbabit diarahkan tutup selama 14 hari sehingga 30 Ogos ini bagi membolehkan operasi pembersihan dan sanitasi untuk memutuskan rantaian keracunan.

Pemeriksaan semula oleh pihak berkuasa Jabatan Kesihatan Negeri akan dijalankan pada 19 Ogos ini untuk melihat tahap kebersihan di semua kafe terbabit, katanya.

 

 

PALING POPULAR

To Top