Seorang lelaki berusia 20-an terkejut rumah yang disewa dan keretanya disimbah cat merah serta nota tertera last warning bersama nama individu tidak dikenalinya dipercayai tindakan Ah Long.
“Saya menyedari ada simbahan cat merah di hadapan rumah ketika mahu keluar bekerja kira-kira 7.30 pagi (Ahad), ada nota ditinggalkan dalam peti surat.
Saya tidak pernah membuat pinjaman dengan mana-mana pemberi pinjaman dan along. Saya sudah memaklumkan kejadian ini kepada pemilik rumah, katanya dilaporkan Harian Metro.
Ketua Polis Jempol, Hoo Chang Hook, berkata usaha mengesan suspek giat dilakukan sebaik menerima laporan pada 3.37 petang semalam.
Menurutnya, pemilik rumah memaklumkan ini kejadian pertama sejak dia membeli rumah itu dan tiada rakaman kamera litar tertutup di lokasi kejadian.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.