Sebutir objek menyerupai bom lama ditemui di tapak projek Ladang F&N Agrivalley di Jalan Pasir Besar-Jelai dekat Gemas.
Menurut Ketua Polis Tampin Amiruddien Sariman, pihaknya menerima panggilan mengenai penemuan bahan letupan jenis Unexploded Ordnance (UXO) oleh seorang pekerja ladang itu pada kira-kira 4.50 petang Sabtu.
“Hasil dari maklumat itu, sepasukan polis dari Gemas dan Tampin pergi ke lokasi kejadian dan mendapati ada objek berkenaan.
Unit Pemusnah Bom (UPB) IPK Negeri Sembilan dan UPB IPD Tampin dimaklumkan untuk tindakan pemusnahan, katanya dilaporkan Bernama.
Menurut laporan juga, beliau menyatakan tempat kejadian merupakan kawasan tapak projek diusahakan F&N Agrivalley sejak setahun lalu dan UXO itu dijumpai semasa kerja mengorek tanah meratakan tapak pembinaan.
Amiruddien berkata, siasatan awal mendapati UXO adalah daripada jenis Aerial Bom 1000lbs yang dilancarkan dari udara, berdasarkan penemuan ‘cuping penggantungan’ pada permukaannya dengan ukuran panjang 153cm dan ukur lilit 142cm.
“Setelah penilaian risiko, pasukan UPB Negeri Sembilan membuat persiapan bagi menjalankan tindakan pemusnahan UXO itu.
Proses memusnahkan bom selesai pada 2.45 petang hari ini setelah tindakan pembersihan keselamatan dijalankan di sekitar lokasi kejadian bagi memastikan tiada bahan letupan yang tertinggal, katanya.