Umum

Pokok tumbang di tapak perkhemahan, warga emas maut, 2 cedera

Gambar APM

Seorang warga emas maut manakala 2 lagi cedera dihempap pokok tumbang ketika berkhemah dalam satu ribut dan angin kencang di Kem Nemo, Kampung Balok di sini pada Selasa.

Mangsa, Che Zakaria Che Ali berusia 68 tahun, beralamat di Kemaman, Terengganu dilaporkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

2 lagi mangsa iaitu seorang wanita dewasa dan seorang kanak-kanak mengalami kecederaan, dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) oleh orang awam.

Pasukan APM mengeluarkan mangsa yang meninggal dunia akibat dihempap pokok dalam kejadian ribut di tapak perkhemahan Kem Nemo di Kampung Balok pada Selasa.

Menurut Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Kuantan, Mejar Pertahanan Awam (PA) Zahidi Zainudin, 6 anggota APM dan seorang pegawai telah dikerahkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan sekitar jam 3.36 petang.

“Kejadian ribut dan angin kencang itu mengakibatkan pokok tumbang dan menghempap tapak perkhemahan di situ. Terdapat kecederaan serta kemalangan jiwa dilaporkan.

“Tiga mangsa terlibat iaitu seorang warga emas meninggal dunia, manakala seorang wanita dewasa dan seorang kanak-kanak telah dibawa oleh orang awam ke hospital,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambahnya lagi, rawatan awal telah diberikan kepada mangsa yang terlibat dan pokok yang tumbang telah selesai dibersihkan.

 

 

PALING POPULAR

To Top