2 penunggang motosikal mangsa kemalangan di Jalan Sultan Ismail diberikan rawatan perubatan kecemasan olrh pasukan perubatan peribadi Yang Di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.
Menurut satu perkongsian di laman Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, seorang doktor pakar perubatan kecemasan, anggota paramedik serta juruteknik perubatan kecemasan sedang dalam perjalanan mengiringi Seri Paduka Baginda ketika kejadian berlaku.
“Sebaik melihat kemalangan itu, doktor bersama pasukan perubatan peribadi Seri Paduka Baginda segera memberikan rawatan kecemasan kepada kedua-dua lelaki terbabit.
Menurut kenyataan itu lagi, seorang daripada mangsa kemudian dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan susulan menggunakan ambulans peribadi Seri Paduka Baginda.
Ambulans peribadi milik Sultan Ibrahim dilengkapi dengan pelbagai aspek klinikal, termasuk mesin bantuan hayat, mesin bantuan pernafasan, alat defibrillator luaran automatik (AED), dan mesin bantuan pernafasan automatik, kata kenyataan itu.
Selain itu, ambulans tersebut turut dilengkapi peralatan untuk rawatan luka akibat kebakaran serta peralatan asas kecemasan akibat kemalangan jalan raya.