Sports

Kejohanan Catur TTDI ketiga dianjurkan bersama MPPWP Subzone 2 Segambut, Pejabat Belia & Sukan, 7M Sports Global

Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan (MPPWP) Subzone 2 Segambut berserta Pejabat Belia & Sukan Kepong/Segambut menjadi penganjur bersama edisi ketiga Kejohanan Chess terbuka dan U12 TTDI dengan 7M Sports Global.

Acara yang dianjurkan di Pusat Komuniti Taman Tun Dr Ismail pada 19 Oktober 2024, merupakan acara kejohanan catur disokong oleh Persatuan Catur Kuala Lumpur (KLCA) dan turut mendapat penarafan dari FIDE, iaitu Pertubuhan Catur Antarabangsa.

Kejohanan bertaraf antarabangsa yang telah dihadiri oleh YB Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh ini melibatkan lebih 182 peserta, melibatkan 3 buah negara termasuk Jepun dan Vietnam.

YB Menteri Belia & Sukan menerima cenderahati dari Pengerusi MPPWP Subzone 2 Segambut

Kejohanan dirasmikan Setiausaha Politik kepada Menteri Belia dan Sukan Yap Yee Vonne, yang dalam ucapan perasmiannya merakamkan ucapan tahniah kepada semua peserta yang berjaya dan juga menukilkan kata-kata semangat kepada semua untuk teruskan usaha.

Beliau juga menyatakan keterujaan beliau melihat sambutan di dewan acara yang dipenuhi peserta dan ibubapa selain menyeru agar para ibubapa mengambil kesempatan pengecualian cukai yang dapat dimanfaatkan seperti diumumkan dalam pembentangan belanjawan hari Jumaat.

Turut hadir bersama pada kejohanan tersebut adalah Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Wilayah Persekutan Sabran Abd Bahar.

Kejohanan yang pada awal penganjurannya direncanakan bagi membangun sukan catur disamping mencungkil bakat baru di kalangan warga komuniti TTDI.

Menurut Pengerusi MPPWP Subzone 2 Segambut, Farhan Abdul Rahman, ini hanyalah langkah permulaan dalam perancangan pembangunan sukan di peringkat akar umbi.

“Kita sudah ada dalam perancangan pelbagai lagi acara dan aktiviti berkaitan sukan, termasuk catur dan insya’Allah kita akan tingkatkan usaha untuk pastikan penganjuran seterusnya akan lebih besar, lebih ramai peserta dari dalam dan luar negara”, ujarnya.

Selain ini, MPPWP sebagai pemegang taruh penting dalam komuniti akan terus memainkan peranannya dengan menganjurkan pelbagai lagi program dan aktiviti bagi manfaat penduduk dan komuniti setempat.

 

 

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top