Malaysia mencatat sejarah dengan menjadi tuan rumah Festival Video Kanak-Kanak Asia Tenggara (SEAVFC) ke-4, sebuah acara inspirasi yang menghimpunkan bakat kreatif muda dari 10 negara ASEAN.
Festival ini, yang berlangsung di Pusat Konvensyen Sunway Pyramid di Petaling Jaya, mencapai kemuncaknya dengan majlis anugerah meriah yang dirasmikan oleh Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching.
Sebagai satu pencapaian penting bagi Malaysia, festival SEAVFC menandakan peranan negara yang semakin berkembang sebagai pemimpin serantau dalam memupuk kreativiti dan kerjasama, sekaligus mempersiapkan langkah menuju kepengerusian ASEAN pada 2025.
Acara tersebut mempamerkan kandungan luar biasa yang dicipta untuk, oleh, dan tentang kanak-kanak, menyediakan platform bagi suara baharu untuk berkongsi perspektif mereka serta meraikan kekayaan kepelbagaian Asia Tenggara.
Dalam ucapan perasmiannya, Teo berkata, “Ketika Malaysia bersiap sedia untuk mengambil alih kepengerusian ASEAN pada 2025, ini adalah peluang untuk kita menonjolkan apa yang menjadikan Asia Tenggara begitu istimewa—kepelbagaian, budaya, dan nilai-nilai bersama kita.
Festival ini bukan sekadar perayaan kreativiti; ia adalah arena yang memaparkan potensi golongan muda untuk membawa perubahan dan perpaduan melalui kisah-kisah mereka.”
Teo turut menyeru pencipta kandungan muda agar mencipta dengan tujuan, “Berkaryalah berpandukan matlamat. Fikirkan tentang kesan yang boleh dihasilkan oleh kandungan anda. Ia bukan hanya soal tontonan atau tanda suka. Ia juga mengenai kesan mendalam yang akan memberi impak kepada kanak-kanak melalui kandungan-kandungan anda.”
“Kandungan anda mempunyai kuasa untuk membentuk cara kanak-kanak lain melihat dunia—apa yang mereka pelajari, bagaimana mereka melayani orang lain, dan nilai-nilai yang mereka bawa ketika mereka membesar bersama anda,” tambahnya.
Majlis tersebut dimeriahkan dengan perarakan bendera negara-negara Asia Tenggara, persembahan memukau daripada Koir Sweet 13 dan PERMATA Seni Tari, serta majlis penganugerahan Heart Awards yang sangat dinanti-nantikan.
Anugerah Heart Awards memberi pengiktirafan kepada sumbangan cemerlang dalam penceritaan kanak-kanak, menekankan pentingnya kandungan berkualiti dalam membentuk minda muda.
Pengerusi dan penganjur SEAVFC, Elvira Yap Go, terpesona dengan kualiti kandungan yang dihasilkan oleh peserta tahun ini. “Bakat dan kisah luar biasa yang ditonjolkan pada festival tahun ini mengukuhkan keyakinan kami terhadap kuasa suara muda untuk membawa perubahan.”
Ketika festival ini berakhir, kami membawa harapan dan perpaduan yang baharu, mengetahui bahawa pencipta muda ini akan terus membentuk Asia Tenggara yang lebih cerah dan terhubung.”
Pengarah festival, Dato’ Mahyidin Mustakim, optimis mengenai peranan kandungan yang dicipta untuk, oleh, dan tentang kanak-kanak dalam menghubungkan budaya dan merangsang dialog.
Menurut beliau, “Festival ini membuktikan potensi luar biasa pencipta muda kita, begitu juga potensi kandungan kanak-kanak untuk merapatkan hubungan budaya dan mencetuskan perbincangan bermakna. Apabila festival ini melabuhkan tirai, saya berasa bangga dan yakin bahawa kisah-kisah yang dikongsikan di sini akan terus memberi inspirasi dan meninggalkan kesan di seluruh rantau ini.”
Dalam momen simbolik perpaduan, festival ini diakhiri dengan penyerahan tanggungjawab penganjuran kepada Thailand, yang akan menjadi tuan rumah Festival Video Kanak-Kanak Asia Tenggara ke-5. Ini menyerlahkan semangat kerjasama ASEAN dan visi bersama untuk memupuk pemahaman merentas budaya melalui penceritaan kreatif.
Festival Video Kanak-Kanak Asia Tenggara menjadi peringatan yang kuat tentang peranan media dalam membentuk masyarakat yang lebih inklusif dan empati. Dengan memberi peluang kepada pencerita muda untuk berkarya, festival ini bukan sahaja meraikan bakat mereka tetapi juga membuka jalan ke arah masa depan yang lebih cerah dan terhubung di seluruh rantau ini.
SENARAI PEMENANG SEAVFC KE-4
1. Professional (Fiction) 7 Years Old & Under – Fox Tales, Bear With Me (Singapore)
2. Professional (Fiction) 8-12 Years Old – Upin & Ipin: Our Friend Susanti (Malaysia)
3. Professional (Fiction) 13-17 Years Old – Tayan Tutu Anakku Satu (Indonesia)
4. Professional (Non-Fiction) 7 Years Old & Under – Fun Nam Nom Club: Little Watcher
(Thailand)
5. Professional (Fiction) 8-12 Years Old – Poupai The Mahout Girl (Thailand)
6. Professional (Fiction) 13-17 Years Old – About Us (Thailand)
7. Aspiring Video Makers 18 Years Old & Above – Bata, Bata Ka Lang (Kid, You’re Just a Kid) (Philippines)
8. Children Video Makers 12 Years Old & Under – A Silent Connection (Vietnam)
9. Children Video Makers 13-15 Years Old – Kisapmata (Philippines)
10. Children Video Makers 16-17 Years Old – Inabay (Philippines)
11. Heart Award (Professional Category) – Upin & Ipin: Our Friend Susanti (Malaysia)
12. Heart Award (Children Category) – Kisapmata (Philippines)
13. Aspiring Video Makers – Bata, Bata Ka Lang (Kid You’re Just A Kid) (Philippines)
14. Kids’ Choice Award – Mag-Igsukul (True Friendship) (Philippines)