Umum

Kuala Lumpur Tuan Rumah Kongres Penerbit-penerbit Antarabangsa ke-35 Tahun 2026

Kuala Lumpur, Malaysia secara rasmi telah dinamakan sebagai tuan rumah Kongres Penerbit-penerbit Antarabangsa atau International Publishers Congress (IP Congress) ke-35 pada tahun 2026 kelak.

Satu acara simbolik penyerahan hak tuan rumah IP Congress 2026 ini telah berlangsung pada petang majlis penutup IP Congress 2024 yang berlangsung di Guadalajara, Mexico sejak 3 Disember 2024.

Delegasi Malaysia di acara kongres dwitahunan ini diwakili oleh Persatuan Penerbit Buku Malaysia (MABOPA) yang diketuai oleh Presidennya, Sheikh Faisal bin Sheikh Mansor, Naib Presiden Raymond Yeo, Bendahari Sum Lih Kang dan juga mantan Presiden Arief Hakim Sani bin Rahmat.

IP Congress adalah acara terbesar dalam kalendar Persatuan Penerbit-penerbit Antarabangsa (IPA), kesatuan terbesar dunia sejak 1896 yang kini mewakili ratusan persatuan-persatuan penerbit nasional, serantau dan pakar antarabangsa dari puluhan negara yang berpusat di Geneva, Switzerland.

Setiausaha Agung IPA, José Borghino dalam surat pemakluman yang diterima tempoh hari antara lain menyebut dokumen pembidaan MABOPA sangat baik dan mencerminkan kemajuan yang terus dicapai oleh industri penerbitan buku negara yang diterajui MABOPA sejak Kuala Lumpur dinobatkan sebagai Ibu Kota Buku UNESCO pada tahun 2020.

IP Congress 2026 di Kuala Lumpur nanti bakal menjadi acara terulung yang akan menerima kedatangan penerbit-penerbit buku terkemuka dunia di Malaysia yang rata- ratanya belum pernah menjejakkan kaki di bumi Malaysia, khususnya untuk bersidang dan merasai sendiri kehebatan industri buku negara dan pembaca-pembaca Malaysia yang sering boleh dilihat dalam acara seperti Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur.

“Terima kasih diucapkan kepada pihak IPA kerana memberi kepercayaan dan peluang kepada MABOPA. Dengan rasa rendah diri kami ingin menjemput semua yang terlibat dalam industri penerbitan buku seluruh dunia ke Kuala Lumpur pada tahun 2026 nanti untuk bersidang di samping mengambil kesempatan segala apa yang bakal dihidangkan sempena Tahun Melawat Malaysia 2026,” ujar Sheikh Faisal, Presiden MABOPA dalam ucapan ringkas semasa sesi penyerahan hak tuan rumah daripada Hugo Setzer, Presiden Dewan Industri Penerbitan Buku Nasional Mexico (CANIEM).

Di samping itu beliau juga berharap agar pemain industri perbukuan negara dapat mengambil kesempatan penuh untuk mengembangkan jaringan dan pasaran masing- masing apabila acara ini diadakan kelak. Tarikh sebenar acara ini berlangsung akan diumumkan dalam masa terdekat.

 

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top