Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) mengumumkan jumlah pengagihan pendapatan sebanyak 5.75 sen seunit bagi dana Amanah Saham Bumiputera (ASB) untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024.
Jumlah tersebut terdiri daripada pengagihan pendapatan sebanyak 5.5 sen seunit dan bonus sebanyak 0.25 sen seunit. Jumlah keseluruhan pengagihan pendapatan sebanyak RM10.1 bilion ini memanfaatkan 11.1 juta pemegang unit ASB.
Menurut kenyataan, ASB mengagihkan pendapatan yang kompetitif, mengatasi penanda arasnya iaitu kadar Deposit Tetap 12 bulan Maybank yang mencatatkan kadar purata sebanyak 2.64% sepanjang tahun ini.
Pengerusi Kumpulan PNB, Raja Tan Sri Dato’ Seri Arshad Raja Tun Uda, berkata, ”Kami berbesar hati kerana ASB mampu memberikan agihan dividennya yang paling kukuh sepanjang tempoh lima tahun. Ini meneruskan rekod prestasi kukuh Dana Harga Tetap ASNB berbanding portfolio rujukan mereka, sejajar dengan matlamat PNB untuk mengukuh kedudukan kewangan rakyat, merentas generasi.”
“Melangkah ke hadapan, kami akan meningkatkan usaha ini melalui transformasi model jualan dan pengedaran kami dan secara agresif menggalakkan simpanan kepada semua rakyat Malaysia. Tindakan segera termasuk pengaktifan beberapa kempen untuk menggalakkan simpanan berulang, bagi menggalakkan pelaburan berulang oleh rakyat Malaysia melalui ciri Auto Laburnya, yang membolehkan pelabur melabur secara tetap dan automatik dengan serendah RM10 sebulan,” tambah Dato’ Abdul Rahman.
Transaksi ASB di cawangan dan ejen ASNB, termasuk semua saluran dalam talian dan perbankan internet, akan ditangguhkan sementara dari 28 hingga 31 Disember 2024. Pemegang unit boleh meneruskan transaksi di semua saluran dalam talian dan perbankan internet bermula 1 Januari 2025, dan di mana-mana cawangan dan ejen ASNB bermula 2 Januari 2025.