Malaysian International Cocoa Fair (MICF) 2025 akan berlangsung buat pertama kalinya di Sabah dari 24 hingga 27 Mei 2025 bertempat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), Kota Kinabalu. Pra-pelancaran rasmi MICF 2025 telah disempurnakan oleh YB Datuk Chan Foong Hin, Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, di Hotel Hilton, Kota Kinabalu.
Menurut YB Datuk Chan, Sabah dipilih sebagai lokasi kerana peranannya sebagai penyumbang utama industri koko Malaysia, dengan 60% pengeluaran koko negara berasal dari negeri ini. Beliau menegaskan bahawa MICF 2025 adalah platform penting untuk mempromosikan koko Malaysia di persada antarabangsa, membincangkan isu-isu utama industri, dan memperkukuhkan kerjasama global dalam sektor ini.
MICF 2025, dengan tema “MyCocoa Delight: Indulge, Meet & Connect”, bakal menampilkan pelbagai aktiviti seperti:
Pameran Produk Koko: Memperkenalkan inovasi tempatan dan global, termasuk coklat premium dan artisan.
Persidangan Antarabangsa: Membincangkan inovasi teknologi, pengeluaran koko premium, dan trend pasaran global.
Rangkaian Perniagaan: Membuka peluang kerjasama antara pemain industri.
Lawatan Lapangan: Memberi pemahaman tentang rantaian nilai koko.
YBhg. Datuk Dr. Ramle Hj Kasin, Ketua Pengarah Lembaga Koko Malaysia (LKM), turut mengumumkan tiga komponen utama MICF 2025: Malaysian International Cocoa Conference (MICC), Malaysian International Cocoa Exhibition (MICE), dan Malaysian International Cocoa Dinner (MICD). MICF 2025 dijangka menarik lebih daripada 1,000 peserta persidangan, 25,000 pengunjung perdagangan dan awam, serta lebih 100 pempamer dari dalam dan luar negara.
YB Datuk Chan juga menyentuh tentang potensi Malaysia khususnya Sabah untuk kembali menjadi hab utama penanaman koko di Asia. Beliau berkata, “Sabah pernah menjadi pemain utama dalam pengeluaran koko, dan kini dengan harga koko di paras tertinggi dalam sejarah, kita mempunyai peluang untuk membangunkan semula industri ini.”
MICF 2025 bukan sahaja menekankan pembangunan sektor koko, tetapi juga membuka peluang kepada pelancong untuk menikmati keindahan alam semula jadi Sabah. Pengunjung berpeluang menjelajahi Gunung Kinabalu, pulau-pulau indah, dan budaya tempatan, menjadikan MICF 2025 satu pengalaman unik yang menggabungkan pelancongan dan perdagangan.
Sebagai acara yang mendapat sokongan badan antarabangsa seperti International Cocoa Organization (ICCO) dan Cocoa Association of Asia (CAA), MICF 2025 diharap mampu meletakkan Malaysia sebagai hab koko serantau dan mengukuhkan kedudukan negara di pasaran global.
Untuk maklumat lanjut dan pendaftaran: https://micf.koko.gov.my