Umum

Warga emas meninggal dunia di bazar Ramadan

Seorang warga emas berusia 75 tahun meninggal dunia selepas rebah di bazar Ramadan di Baling, Kedah petang Ahad.

Menurut Ketua Polis Baling, Azmi Mokhtar, anak lelaki mangsa berusia 51 tahun dihubungi orang awam memaklumkan bapanya yang dikenali sebagai Zainon Said, tidak sedarkan diri dan rebah di bazar terbabit kira-kira jam 4.30 petang.

Sejurus kemudian anaknya terus menghubungi Pejabat Kesihatan Kupang.

“Ketua Balai Polis bersama dua anggota rondaan cegah jenayah (RCJ) tiba di tempat kejadian dan menjalankan siasatan sebelum mendapati warga emas terbabit sudah meninggal dunia.

“Hasil temu bual dengan salah seorang anak warga emas itu mendapati bapanya mempunyai sejarah penyakit kronik, iaitu kencing manis, darah tinggi dan kolesterol tinggi serta pernah mendapat rawatan di Klinik Kesihatan Parit Panjang, Kupang.

“Warga emas itu juga pernah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar kerana mengalami pendarahan usus yang serius, dan ditahan di wad selama seminggu,” katanya, dilaporkan Berita Harian.

Beliau berkata, siasatan lanjut mendapati tiada berlaku apa-apa unsur jenayah di tempat kejadian.

“Mayat dibawa pulang ke rumah mangsa di Kampung Banggol Asam Jawa untuk urusan pengebumian,” katanya.

 

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top