Pengerusi Yayasan Kebajikan Artis Tanahair, Dj Dave menyatakan masih terdapat sekitar 16 artis veteran yang berharap untuk mendapat rumah projek perumahan rakyat (PPR).
Menurut laporan Bernama, beliau berkata tidak semua artis veteran berkemampuan meskipun suatu masa dulu mereka pernah mencipta nama.
“Namun, kini ada sebahagian mereka yang berdepan dengan kesukaran hidup…ada terpaksa menumpang bersama anak, ada yang hanya mampu menyewa bilik, dan ada kehilangan punca pendapatan akibat masalah kesihatan sehingga tidak mampu memiliki kediaman sendiri,” katanya selepas majlis iftar dan sumbangan wang tunai RM1,000 sempena Aidilfitri kepada 13 artis veteran, di Kuala Lumpur.
Menurutnya lagi, kira-kira 16 artis veteran terdiri pelakon, penyanyi, dan pemuzik masih menunggu jawapan untuk mendapatkan rumah PPR.
Penyediaan rumah mampu milik untuk artis veteran bukan hanya soal kebajikan, tetapi juga sebagai penghargaan sumbangan mereka kepada negara, ujarnya.
Sejak penubuhannya 13 tahun lalu, yayasan itu telah membantu hampir 1,900 artis veteran termasuk melalui bantuan kewangan dan program sosial bagi meringankan beban golongan itu.
