Industri halal Malaysia terus menunjukkan prestasi memberangsangkan apabila nilai eksport produk halal negara meningkat kepada RM61.79 bilion pada tahun 2024, mewakili pertumbuhan 15% berbanding RM53.72 bilion pada tahun sebelumnya.
Peningkatan ini didorong oleh kekuatan ekosistem halal tempatan, terutamanya dalam sektor makanan, minuman, kewangan Islam, dan pelancongan patuh syariah.
Perkara itu diumumkan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Industri) Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Hanafi Sakri sempena majlis prapelancaran Pameran Halal Antarabangsa Malaysia 2025 (MIHAS).
Menurut beliau, Malaysia kekal di kedudukan teratas dalam Petunjuk Ekonomi Islam Global selama sedekad berturut-turut, mencerminkan reputasi negara sebagai hab utama dalam ekonomi halal dunia.
Hanafi turut menjelaskan bahawa industri halal kini menjadi penyumbang penting kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), dengan jangkaan sumbangan meningkat kepada 10.8% atau RM231 bilion menjelang tahun 2030.
“Ekosistem halal Malaysia yang mantap dalam sektor utama seperti makanan, kewangan dan perjalanan menjadi pemangkin utama kepada pertumbuhan ini,” jelas beliau.
Sementara itu, Pengerusi Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Datuk Reezal Merican Naina Merican berkata, sasaran eksport negara sebanyak RM1.58 trilion untuk tahun ini adalah munasabah, meskipun beliau menjangkakan beberapa cabaran ekonomi global.
Sebagai langkah menghadapi ketidaktentuan pasaran, MATRADE kini giat melaksanakan pelbagai strategi termasuk meneroka pasaran sedang pesat membangun serta menilai semula hubungan perdagangan dengan negara-negara di mana Malaysia mengalami defisit dagangan.
“Kami menumpukan kepada pasaran yang memberi kelebihan perdagangan dan dalam masa yang sama meneliti peluang untuk mengimbangi hubungan dagangan yang tidak seimbang,” ujar Reezal.
Untuk rekod, pada penghujung 2024, nilai eksport Malaysia berjumlah RM1.51 trilion, melebihi sasaran tahunan sebanyak RM10 bilion.
