Umum

Malaysia Muslim Festival 2025 Bakal Tampil Lebih Meriah di Tengah Lonjakan Industri Halal Negara

KUALA LUMPUR – Festival Muslim Malaysia 2025, yang dijadualkan berlangsung dari 7 hingga 10 Ogos di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hadir tepat pada waktunya ketika industri halal negara mencatat pertumbuhan memberangsangkan.

Menurut Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), eksport produk halal Malaysia mencapai RM61.79 bilion pada 2024 — peningkatan 15% berbanding tahun sebelumnya. Angka ini memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai antara peneraju industri halal dunia, terutamanya dalam sektor makanan dan minuman, kewangan Islam dan pelancongan patuh syariah.

Disampaikan semasa majlis prapelancaran MIHAS 2025, Timbalan Ketua Setiausaha MITI Hanafi Sakri turut menyatakan bahawa sumbangan industri halal kepada KDNK negara dijangka meningkat kepada RM231 bilion menjelang 2030. Dalam nada yang sama, Pengerusi MATRADE Datuk Reezal Merican Naina Merican menegaskan pentingnya strategi kepelbagaian pasaran untuk terus mengukuhkan eksport negara.

Malaysia Muslim Festival 2025 (MMF) dilihat sebagai medan penting untuk memanfaatkan momentum ini, dengan pelbagai pameran dan aktiviti bertemakan gaya hidup Islam moden. Antara segmen menarik yang bakal ditampilkan ialah Pesta Buku Islam, pameran makanan halal, pertunjukan fesyen patuh syariah, forum perniagaan dan bengkel komuniti.

Program empat hari ini dijangka menghimpunkan usahawan, penggiat industri dan masyarakat umum dalam suasana inklusif yang meraikan budaya, inovasi serta nilai-nilai Islam yang progresif. Ia juga menjadi platform strategik untuk memperkenalkan produk halal tempatan kepada pasaran lebih luas, sekaligus menyokong aspirasi Malaysia sebagai hab halal global.

Jawatankuasa Pengajuran MMF dalam suatu kenyataan berkata penganjuran Malaysia Muslim Festival pada tahun ini sesuai sempena tahun Kepengerusian ASEAN – Malaysia dan posisi global Malaysia sebagai peneraju industri Halal antarabangsa.

Kenyataan itu turut berkata penganjuran Malaysia Muslim Festival ini memberi peluang untuk usahawan pelbagai industri dari skala mikro untuk manfaatkan kedudukan Malaysia dan terus berkembang selari peningkatan angka eksport yang memberangsangkan.

Untuk maklumat lanjut dan pendaftaran, layari: mymuslimfestival.com.my

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top