2 remaja lelaki berusia 18 tahun ditahan kerana disyaki mengugut seorang rakan mereka supaya membayar sejumlah wang jika tidak mahu video bogel mangsa bersama teman wanitanya tersebar.
Menurut Ketua Polis Ampang Jaya Mohd Azam Ismail, kedua-dua suspek itu ditahan di Ampang pada Ahad lepas beserta 3 telefon bimbit yang turut dirampas bagi membantu siasatan.
Memetik laporan media, beliau berkata, siasatan mendapati mangsa telah menerima pesanan WhatsApp daripada rakan yang dikenalinya pada 11 April lepas yang mengugut dengan meminta wang dimana mangsa membayar RM2,800 secara ansuran.
Susulan itu, mangsa diminta lagi sejumlah wang tunai RM1,000 oleh suspek, yang mendorong mangsa membuat laporan polis.
Mengulas lanjut, Mohd Azam berkata, saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis THC, manakala seorang mempunyai empat rekod jenayah lampau, termasuk berkaitan dadah.
Kedua-dua suspek direman empat hari bermula semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 385 Kanun Keseksaan kerana melakukan pemerasan serta Seksyen 292 akta sama kerana memiliki bahan lucah.
