Business

HLB Perbaharui Kerjasama dengan MMSDA – Sokong Industri Motosikal dan Gig Economy di Malaysia

Hong Leong Bank (HLB) telah memperbaharui Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Persatuan Pengedar Motosikal dan Skuter Malaysia (MMSDA), menandakan satu lagi langkah penting dalam usaha menyokong pertumbuhan industri motosikal tempatan dan memperkukuh ekosistem pengedar dua roda di seluruh negara.

Kerjasama ini bukan sekadar mengenai pembiayaan, tetapi melibatkan komitmen jangka panjang HLB untuk memperkasakan pengedar motosikal – kebanyakannya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) – dengan penyelesaian kewangan holistik, termasuk akses kepada produk digital dan sokongan transformasi perniagaan.

 

Malaysia Antara Pasaran Dua Roda Terbesar di Dunia

Malaysia kini berada di kedudukan ke-13 pasaran motosikal terbesar dunia, dengan lebih 61,000 pendaftaran motosikal baharu pada Mei 2025 sahaja. Perkembangan pesat ini didorong oleh peningkatan permintaan dalam kalangan pekerja ekonomi gig – terutamanya dalam sektor penghantaran jarak dekat – yang kini melibatkan sekitar 4 juta rakyat Malaysia, bersamaan 26% tenaga kerja negara.

“Motor adalah nadi kepada ramai rakyat Malaysia, bukan sahaja sebagai kenderaan utama, tetapi juga sebagai alat mencari rezeki,” kata Kevin Lam, Pengarah Urusan Kumpulan & CEO HLB. “Melalui sokongan kepada pengedar motosikal, kami membantu memastikan akses kepada motosikal, alat ganti, dan perkhidmatan kekal lancar –sekaligus menyumbang kepada mobiliti dan daya saing ekonomi.”

 

Akses Pembiayaan Lebih Mudah, Termasuk Produk Patuh Syariah

HLB turut menyediakan pelbagai penyelesaian kewangan untuk ahli MMSDA termasuk pinjaman jangka, kemudahan perdagangan, perkhidmatan insurans, pengurusan tunai, dan penyelesaian perbankan digital. Usaha ini turut diperluaskan melalui Hong Leong Islamic Bank untuk menawarkan produk patuh Syariah demi inklusiviti.

“Kami mahu pelanggan PKS kami bukan sahaja bertahan, tetapi berkembang dalam era digital,” kata Yow Kuan Tuck, Pengarah Urusan Perbankan Perniagaan dan Korporat HLB. “Kami juga menyediakan khidmat nasihat, akses kepada rangkaian perniagaan dan kemas kini industri bagi membantu mereka kekal kompetitif.”

Sokongan Semasa Cabaran & Peralihan Digital

Presiden MMSDA, Datuk Wee Hong, memuji kesungguhan HLB yang terus menyokong ahli persatuan bukan sahaja ketika industri sedang berkembang, tetapi juga dalam tempoh mencabar. Beliau turut menyeru agar industri dua roda bersedia untuk transformasi digital.

“Untuk mara ke hadapan, kami perlu lebih berani dalam penerimaan teknologi seperti AI, serta memperkukuh pengurusan dan perkhidmatan kami. Kami berharap HLB akan terus menyokong transformasi ini,” katanya.

 

Fokus Berterusan ke Arah Kewangan Inklusif

Pembaruan MoU ini hadir selepas inisiatif strategik lain oleh HLB, termasuk kerjasama dengan DCAP Digital bagi menambah baik infrastruktur pinjaman kepada PKS. Ini akan memudahkan akses kepada program pembiayaan seperti Dealer Hire Purchase Program dan perkhidmatan lain yang penting kepada pengedar motosikal.

 

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top