Umum

Isu culas nafkah, Selangor Usahakan Sitaan Aset & Kerjasama Agensi

Kerajaan Negeri Selangor sedang merangka mekanisme lebih tegas termasuk penyitaan aset bagi menangani kegagalan suami mematuhi perintah nafkah kepada bekas isteri dan anak-anak.

Exco Hal Ehwal Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi, Mohammad Fahmi Ngah, berkata cadangan lain turut melibatkan perintah tahan pendapatan, hiwalah (garnishment order), dan penjualan harta milik si pelanggar.

“Pemilihan mekanisme yang tepat oleh pihak penuntut nafkah sangat penting untuk memastikan keberkesanan penguatkuasaan. Jika tersilap langkah, boleh menyebabkan kelewatan dan menjejaskan hak penerima,” katanya dalam persidangan DUN Selangor.

Cadangan ini merupakan jawapan kepada pertanyaan ADUN Meru, Mariam Abdul Rashid, yang bertanya tentang langkah memperkukuh undang-undang terhadap pihak culas membayar nafkah.

Kerjasama Antara Agensi

Mohammad Fahmi memaklumkan bahawa kerajaan negeri melalui Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (JAKESS) turut merancang kerjasama dengan agensi seperti:

  • Jabatan Pendaftaran Negara (JPN)
  • Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN)
  • Institusi kewangan

Kerjasama ini bertujuan membantu proses pengesanan dan penyitaan aset terhadap pihak yang ingkar.

Selain itu, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) bersama JAKESS, JAIS, ahli akademik dan pakar syariah sedang mengkaji pindaan terhadap Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003, untuk memperkemas aspek penguatkuasaan.

Statistik Aduan

Sejak tahun 2022 hingga 31 Mei 2025, sebanyak 1,189 aduan pelanggaran nafkah telah diterima oleh Bahagian Sokongan Keluarga Negeri Selangor.

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top