Resorts World Genting (RWG), destinasi peranginan utama Malaysia, telah memperkukuh kerjasama strategik dengan Kumpulan Trip.com, penyedia perkhidmatan pelancongan global terkemuka, melalui penandatanganan dua Memorandum Persefahaman (MoU) penting.
Majlis yang turut dihadiri oleh wakil NH Online ini menandakan satu langkah besar dalam usaha mengintegrasi teknologi dan inovasi pemasaran bagi memudahkan pengalaman pelancong ke RWG serta Malaysia secara keseluruhan.
Salah satu tonggak utama kerjasama ini ialah pelaksanaan integrasi Application Programming Interface (API) yang menghubungkan secara langsung sistem tempahan hotel dan taman tema RWG dengan platform Trip.com. Ini membolehkan kemas kini inventori masa nyata, pengesahan tempahan serta-merta, dan penyelarasan harga, sekali gus memudahkan pelanggan merancang perjalanan mereka dengan lebih pantas dan mudah.
Menurut Spencer Lee, Naib Presiden Eksekutif Jualan dan Pemasaran RWG, kerjasama ini memberi kelebihan besar bagi memenuhi permintaan pelancongan yang semakin meningkat di rantau Asia, sambil mengekalkan RWG sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia.
“Dengan jaringan global dan kepakaran Trip.com, kami dapat menawarkan pengalaman pelancongan yang lancar serta produk hiburan bertaraf antarabangsa,” katanya.
MoU ini juga membuka peluang kepada pelaksanaan pelbagai kempen pemasaran eksklusif, termasuk jualan kilat dan tawaran khas kepada ahli, khususnya bagi menarik pelancong dari pasaran Asia.
Boon Sian Chai, Pengarah Urusan Kumpulan Trip.com Malaysia, menyatakan, “Kerjasama ini memperkukuh komitmen kami dalam menyokong pembangunan sektor pelancongan Malaysia dan menyediakan pengalaman pengguna yang lancar, dari perancangan sehingga perjalanan.”
Majlis kerjasama ini turut bersesuaian dengan persiapan Malaysia menyambut Tahun Melawat Malaysia 2026 dan usaha mempromosi negara sebagai destinasi pelancongan utama di peringkat global.
Dengan inovasi teknologi dan strategi pemasaran bersama, RWG dan Trip.com yakin dapat menawarkan pengalaman pelancongan yang lebih menarik, mudah, dan bertaraf dunia kepada pelancong dari Asia Tenggara dan seluruh dunia.
Untuk maklumat lanjut, layari rwgenting.com atau trip.com.
