Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) secara rasmi melantik Dr. Abdul Basir V. Kunhimohamed sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu yayasan itu untuk tempoh dua tahun, berkuat kuasa mulai 1 Julai 2025.
Pelantikan ini diumumkan selaras dengan Artikel 27 Memorandum dan Artikel YWP, dan disahkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) merangkap Pengerusi YWP, Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa.
“Saya percaya dengan gabungan kepakaran dan pengalaman yang dimiliki, Dr. Abdul Basir mampu menerajui YWP dengan lebih dinamik bagi memperkukuh lagi agenda kebajikan dan kesejahteraan rakyat Wilayah Persekutuan,” kata beliau dalam kenyataan media rasmi.
Berpengalaman Luas dalam Sektor Kewangan dan Komuniti
Dr. Abdul Basir memiliki kelulusan Doktor Pentadbiran Perniagaan (DBA) dalam bidang kewangan, dan mempunyai pengalaman luas dalam pelaburan, pengurusan risiko dan strategi korporat.
Beliau juga aktif dalam bidang akademik, penerbitan ilmiah, dan penglibatan pelbagai organisasi yang merangkumi bidang agama, undang-undang dan pembangunan komuniti.
Pernah Pimpin Jawatankuasa Eksekutif YWP
Sebelum dilantik sebagai CEO, Dr. Abdul Basir pernah mengetuai Jawatankuasa Eksekutif YWP dari tahun 2024 hingga Jun 2025, dan memainkan peranan penting dalam menyusun semula keutamaan strategik yayasan yang melibatkan kebajikan, pendidikan dan pembangunan masyarakat di Wilayah Persekutuan.
Berjaringan Antarabangsa
Beliau juga pernah terlibat secara langsung dalam kerjasama bersama Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) di bawah badan-badan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, yang memperlihatkan pengaruh dan pengalamannya di peringkat antarabangsa.
Langkah Baharu ke Arah Malaysia MADANI
Pelantikan ini dilihat sebagai langkah penting dalam memperkukuh peranan YWP sebagai agensi yang komited terhadap aspirasi Malaysia MADANI, terutamanya dalam memperjuangkan kebajikan rakyat di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.
Untuk maklumat lanjut mengenai program dan inisiatif YWP:
🌐 www.ywp.gov.my
